Skip to main
Logo Malaysiakini

Langkah Chow Kit: Sanusi hanya mengusik - Wan Fayhsal

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan tiada komplot untuk menjatuhkan kerajaan.

Dia berkata kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang membayangkan kerajaan akan dijatuhkan tidak perlu dipandang secara serius.

"Dia mengusik saja. Sanusi kan suka sindir pedas,” kata ahli parlimen Machang MP ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, Sanusi menegaskan keyakinannya kerajaan perpaduan akan ditumbangkan dalam masa terdekat atau sebelum pilihan raya umum ke-16 diadakan.

"Saya yakin akan berlaku dan kerajaan hari ini tidak akan bertahan selama lima tahun," katanya.

Menurut Sanusi lagi Langkah Dubai itu sebenarnya lebih sesuai digelar sebagai 'Langkah Chow Kit' kerana perbincangan menjatuhkan kerajaan sebenarnya sudah berlangsung sejak di Kuala Lumpur.

"Bukan Langkah Dubai, tapi Langkah Chow skit, pasal (perbincangan) dibuat di Kuala Lumpur," kata Sanusi tapi dalam nada seakan berseloroh.

Kata Sanusi pertemuan di Dubai yang didakwa oleh timbalan ketua pengarah Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-Kom) Ismail Yusop hanyalah satu kebetulan.

TPM dedah laporan risikan

"Saya rasa Dubai itu cuma dummy (helah) saja, sebab ramai orang pergi ke Dubai (bercuti)," kata Sanusi lagi.

Ismail pada 30 Dis lalu mendedahkan rancangan untuk menggulingkan kerajaan yang digelar sebagai ‘Langkah Dubai’ timbul sewaktu percutian pemimpin PN dan beberapa wakil rakyat parti pemerintah di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Dia mendakwa satu pertemuan diadakan semasa lawatan itu untuk memberikan tugas khusus kepada 'pegawai' yang bertanggungjawab bagi mengenal pasti ahli-ahli parlimen kerajaan yang berpotensi mengalih sokongan mereka kepada pembangkang dengan menerima sogokan.

Dakwaan plot rampasan kuasa itu semakin dipercayai pada Selasa apabila Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kewujudan Langkah Dubai, memetik laporan risikan.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai identiti mereka yang terlibat dalam plot itu berdasarkan laporan risikan, Zahid enggan mengulas lanjut.

Wan Ahmad Fayhsal berkata dakwaan Langkah Dubai hanyalah cubaan kerajaan untuk mengalih perhatian daripada isu semasa yang memberi gambaran buruk kepada pentadbiran Madani.

Menurutnya, ini termasuk desakan DAP untuk pilihan raya tempatan atau kenyataan daripada pemimpin parti itu yang menimbulkan keresahan orang ramai.

"Tidak ada pun langkah Dubai," katanya lagi.

[Baca berita asal]