Skip to main
Logo Malaysiakini

'Dah lebih dua bulan, tak ada jaminan hitam putih Perodua'

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Seorang pembeli kereta Perodua Bezza yang rosak dalam tempoh kurang lapan jam meminta syarikat pengeluar automotif tempatan itu untuk segera menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Kerani syarikat swasta di Johor, S Nagakanni, 31 menggesa Perodua supaya memberi jaminan secara hitam putih sekiranya sedia membeli semula kereta berkenaan.

Dia berkata sehingga kini syarikat itu tidak memberi sebarang penyelesaian terhadap masalahnya yang berlarutan sejak Oktober tahun lepas.

"Solusi Perodua adalah untuk saya beli kereta kedua dengan cara mohon pinjaman kereta kedua.

"Ada jaminan secara black and white tak? (hitam putih) yang kata kereta pertama saya akan dibeli semula dan saya tak perlu bayar pinjaman pertama? Tak ada.

"Dah lebih dua bulan masih belum ada apa apa maklumat secara detail mengenai pembelian balik , tempoh pembelian balik, pembayaran pinjaman dan semua itu.

"Isunya mudah. Saya beli kereta dengan Perodua. Enjin rosak kononnya sebab ada material asing seperti gula. Saya tak dapat gantian kereta baru. Saya masih kena bayar kereta itu setiap bulan.

"Kalau betul Perodua kata nak beli kereta saya, silakan. Tapi mana black and white (hitam dan putih) itu?

Tawar kereta sementara

"Sehingga hari ini saya masih belum ada (penyelesaian). Perodua dah jawab, tapi masih tiada solusi," katanya pada hantaran di Facebook bagi mengulas kenyataan Perodua semalam.

Terdahulu, Ketua Pegawai Operasi Jualan Perodua, Rozman Jaafar menepis dakwaan syarikat itu tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Nagakanni.

"Kami telah mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan isu terbabit termasuk dengan menawarkan kereta sementara untuk digunakan serta menawarkan pilihan untuk membeli semula kereta berkenaan.

"Siasatan menyeluruh berhubung isu ini sedang dijalankan dan kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenainya selepas ia selesai.

"Kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul dan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan," katanya.

Menurut Rozman, Perodua juga sudah berkomunikasi dengan pelanggan terbabit sejak Oktober tahun lalu.

Untuk rekod, Nagakanni membeli kereta Perodua Bezza 1.3 X, dari Pusat Jualan Harapan Terang Motor, Segamat pada 17 Oktober.

Namun menurutnya, enjin enjin kereta itu tidak dapat dihidupkan dalam kurang tempoh lapan jam pembelian kereta itu. Katanya, kereta tersebut telah dihantar ke pusat servis dan diberitahu enjinnya rosak.

Nagakanni berkata dia meminta Perodua menggantikan kereta baru.

"Saya diminta untuk menunggu keputusan dari ibu pejabat Perodua yang memerlukan waktu dua minggu hingga satu bulan.

"Pada 19 Oktober, saya terima panggilan dari ibu pejabat berkata penyiasatan awal, enjin kereta saya rosak sebab ada benda asing seperti gula. Dia kata material tersebut tidak digunakan oleh Perodua.

"Masalahnya, saya pun tak bawa apa-apa makanan atau gula dalam tempoh 8 jam tu, apatah lagi nak usik enjin," katanya.

Kata Nagakanni lagi, dia juga telah membuat satu laporan polis pada hari sama di Balai Polis Labis, Segamat.

Pada 15 Nov, dia berkata telah menerima panggilan daripada wakil jualan Perodua yang mencadangkannya untuk membuat pinjaman bank bagi kereta baru.

Tapi, Nagakanni menolak cadangan itu atas alasan dia hanya boleh membuat pinjaman baru selepas menyelesaikan pinjaman kereta yang rosak tersebut dan masih perlu membayar ansuran bulanan.

"Pada 4 Disember, jurujual dari Pusat Jualan Harapan Terang minta dokumen dari saya untuk membuat pinjaman kedua. Saya tolak permintaan itu sebab pinjaman pertama saya masih belum selesai.

"Pada 8 Disember, pelanggan perkhidmatan memberitahu 'final proposal' belum dipersetujui dan Perodua masih sedang selidik kesilapan dalaman. Atau kata lain, mereka belum boleh bagi hitam putih persetujuan untuk tukar kereta saya dengan kereta baru.

"Dah lebih dua bulan. Belum ada apa-apa daripada Perodua secara hitam putih. Saya hanya lawan untuk pertahan hak saya," katanya.