Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis siasat dua individu isu campur tangan hal ehwal Islam

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Polis menyiasat campur tangan terhadap isu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan polis membuka dua kertas siasatan terhadap dua individu berdasarkan kenyataan yang dibuat mereka.

"Kes masih diperingkat siasatan dan polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

"Polis turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Mohd Shuhaily memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan nama dua individu yang sedang disiasat polis.

Bagaimanapun, sebelum ini timbul kontroversi melibatkan Ahli Parlimen Bruas Ngeh Koo Ham yang mencadangkan agar pakar undang-undang bukan Islam dilibatkan dalam jawatankuasa terbabit yang kini menjalankan kajian mengenai tahap kompetensi DUN menggubal sesuatu enakmen berkaitan Islam.

Ia ditubuhkan susulan isu keabsahan enakmen yang digubal di peringkat negeri serta percanggahan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan berkenaan mendapat pelbagai reaksi dengan kebanyakannya menunjukkan rasa kurang senang dan beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Ngeh.

Malah DAP sendiri pada 29 Dis lalu menyatakan Ngeh terkhilaf dalam pandangannya berkaitan punca kuasa jawatankuasa tersebut.

Setiausaha agungnya Anthony Loke juga berkata parti itu menghormati kebijaksanaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Hal-ehwal Agama Islam (MKI) dalam membuat keputusan, termasuk mengenai jawatankuasa itu.

Malaysiakini sedang menghubungi pihak polis dan Ngeh bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai siasatan pihak berkuasa.

Ahli Parlimen Beruas telah pun memohon maaf atas cadangannya agar pakar perlembagaan dari kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

Ahli parlimen DAP itu berkata dia langsung tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam dengan membuat cadangan itu.