Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis dapati tiada penipuan kes 200 pekerja asing tanpa pekerjaan

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Kira-kira 200 pekerja asing masih tidak menganggur, selepas setahun mereka dibawa ke Malaysia tanpa sebarang pekerjaan menanti mereka, kata polis.

Namun, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) menyatakan pihaknya tidak menemui sebarang bukti para pekerja itu ditipu di bawah Akta Kanun Keseksaan.

Justeru, Pengarah JSJK Ramli Mohamed Yoosof berkata jabatan itu telah menutup siasatan terhadap laporan yang dibuat pekerja asing, yang mendakwa mereka ditipu oleh syarikat yang membawa mereka ke Malaysia.

"Siasatan awal mendapati tiada penipuan jenayah yang melibatkan tindakan oleh JSJK dalam kes ini memandangkan dalam kalangan 600 pekerja yang terlibat dalam kumpulan ini, kebanyakannya telah diberi pekerjaan.

"Baki (kira-kira 200 orang) yang tidak bekerja sedang menunggu kerja yang dijanjikan.

"Siasatan oleh JSJK bagi elemen penipuan di bawah Kanun Keseksaan telah tidak diteruskan, bagaimanapun siasatan oleh agensi-agensi lain sedang berlangsung." kata Ramli kepada Malaysiakini.

Pada November lalu, Malaysiakini membangkitkan keadaan getir yang dihadapi ramai pekera asing, apabila sekumpulan syarikat menggunakan dokumen palsu untuk mendapat kuota bagi membawa masuk mereka.

Pihak dalaman dan pekerja yang diperdaya mendakwa kuota tersebut sama ada dijual kepada ejen atau syarikat lain, dan pekerja yang dibawa masuk juga boleh "dijual atau disewa".

Tanpa pekerjaan, ada dalam kalangan mereka yang kelaparan sehinggalah NGO datang menghulurkan bantuan.

Polis sahkan identiti suspek

Pada masa sama, Ramli berkata pihak yang didakwa sebagai dalang penipuan masih disiasat, susulan empat laporan polis terhadapnya yang dibuat pihak yang mendakwa dia telah menipu mereka.

Ramli juga mengesahkan identiti individu tersebut namun Malaysiakini tidak mendedahkan nama sebelum ada pendakwaan dibuat.

Kumpulan pekerja asing itu, yang direkrut oleh Puncak Jupiter Management Services Sdn Bhd dan Aecor Innovation Sdn Bhd, membuat laporan polis pada Jun dan Oktober lalu.

"Siasatan dapati isu dalam kes ini adalah berkenaan pembayaran gaji. Justeru, kes ini telah diklasifikasikan untuk dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan selanjutnya," kata Ramli.

Kes terhadap Aecor di Mahkamah Buruh masih belum selesai.

Terdahulu, mahkamah tersebut dilaporkan akan membuat keputusan namun ia ditangguh di saat akhir apabila majikan tidak dapat hadir perbicaraan.

Ditahan ketika nak buat laporan

Syarikat lain yang didakwa terlibat adalah Star Domain Resources Sdn Bhd, QL-marketing Sdn Bhd, GTM Marketing, dan Buloke Holdings Sdn Bhd (Maxim).


Baca: Urus niaga jutaan ringgit dari penipuan permohonan kuota pekerja asing


Kementerian Sumber Manusia sedang menyiasat skandal itu manakala Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berjanji akan memberi penjelasan berkenaan "isu yang berbangkit mutakhir ini".

Selain skandal penipuan kuota, pertubuhan hak migran, peguam dan ahli parlimen turut mengecam tindakan menahan 171 pekerja Bangladesh yang berusaha membuat laporan polis terhadap ejen mereka.

Lawyers for Liberty berkata pihaknya terkejut dengan penahanan itu, yang dibuat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen, memandangkan mereka masuk ke Malaysia secara sah dan hanya cuba membuat laporan terhadap ejen mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora mengesahkan kumpulan pekerja itu berjalan kaki sejauh kira-kira 10 kilometer demi membuat laporan polis.

[Baca berita asal]