Langkah Dubai: PAS dan PN tak perlu budaya 'shopping' MP, kata Hadi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu dan PN tidak mengamalkan budaya membeli ahli parlimen untuk menukar kerajaan, susulan dakwaan wujudnya 'Langkah Dubai' yang dikaitkan dengan gabungan itu.
Abdul Hadi berkata, PAS pada masa sama tetap bersedia dan berusaha menunggu perubahan kerajaan melalui proses demokrasi dan Raja Berperlembagaan.
"PAS dan rakan-rakan dalam PN memilih pendekatan mempertahankan kepercayaan rakyat secara langsung dan tidak langsung.
"...(Kami) tidak perlu kepada budaya ‘shopping’ ahli parlimen dengan menggunakan duit yang banyak dan janji-janji, tetapi berpijak di bumi yang nyata mengamalkan politik demokrasi yang sebenar," katanya dalam ruangan Minda Presiden yang disiarkan di Facebook, hari ini.
"PAS terus bersabar sejak ditubuhkan pada 1951 dengan hanya satu kerusi, diikuti pasang surut politik kerana gelombangnya dan terus beristiqamah dalam semua keadaan," katanya lagi.
'Langkah Dubai' mula diperkatakan selepas dibangkitkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop minggu lalu, yang didakwanya melibatkan pemimpin PN serta pihak dalam kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.
Dia mendakwa satu pertemuan diadakan di sana untuk memberikan tugas khusus kepada 'pegawai' yang bertanggungjawab bagi mengenal pasti ahli-ahli parlimen yang berpotensi mengalih sokongan mereka kepada pembangkang dengan menerima sogokan.
PN dan beberapa ahli parlimen BN yang didakwa dekat dengan pembangkang juga menafikan mereka terlibat dalam gerakan tersebut.
Namun Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia memang wujud, dengan menyatakan dia menerima laporan perisikan berkenaannya.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang menyatakan persetujuannya dengan pandangan wartawan veteran Abdul Kadir Jasin, bahawa gerakan itu mestinya datang daripada pihak yang memiliki wang.
Menurutnya lagi, pada masa ini kerajaanlah pihak "yang menguasai wang" dan mampu mempengaruhi golongan "yang mencari segala projek".
"Ada pun pihak pembangkang pula disekat peruntukan yang wajib diberikan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai