Skip to main
Logo Malaysiakini

Imigresen tahan 238 warga asing di Kota Bharu

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Seramai 238 warga asing warga asing ditahan di Kota Bharu, Kelantan dalam satu operasi pada pagi ini.

Timbalan Pengarah (Pengurusan) Imigresen Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, mereka dipercayai telah melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, namun tidak menyatakannya secara terperinci berkenaan kesalahan tersebut.

Dia berkata Ops Kutip dijalankan Jabatan Imigresen dengan kerjasama polis, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan.

"Dalam operasi ini, Jabatan Imigresen Kelantan berjaya menahan tiga lelaki Pakistan, tiga lelaki India, lima lelaki dan seorang wanita Thailand, 13 lelaki Nepal, 14 lelaki dan seorang wanita Indonesia, 115 lelaki dan tiga wanita serta empat kanak-kanak Myanmar dan 76 lelaki Bangladesh.

"Kesemua mereka yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, operasi itu dibuat susulan maklumat risikan daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan.

Nik Akhtarulhaq turut menggesa orang ramai tampil memberikan maklumat berkenaan pendatang asing tanpa izin (pati) atau sebarang kegiatan menyalahi undang-undang yang melibatkan golongan itu.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi pati," katanya lagi.