Skip to main
Logo Malaysiakini

Data peribadi dalam Padu: Rafizi beri cadangan 'semberono' - LFL

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Pertubuhan hak asasi Lawyers for Liberty sekali lagi membidas Menteri Ekonomi berkenaan Hab Pangkalan Data Pusat (Padu) yang baru dilancarkan.

Ia susulan kenyataan Rafizi semalam yang mempertahankan Padu selepas LFL mencadangkan ia digantung sehingga Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) dipinda untuk menghapuskan klausa yang mengecualikan kerajaan daripada liabiliti.

Semalam Rafizi menegaskan setiap agensi kerajaan dilindungi oleh peraturan sendiri berkenaan data, bukannya PDPA.

Hari ini, Pengarah LFL Zaid Malek berkata jawapan tersebut sebagai "tidak bertanggungjawab dan jahil".

Dia turut menyifatkan Rafizi sebagai "langsung tidak sedar" akan peranan dan keperluan peraturan PDPA dalam mengendalikan data peribadi.

"Pertamanya, perlindungan data peribadi tidak boleh dibiarkan di tangan pengawalan ad-hoc dan cetek (superficial) oleh jabatan atau agensi kerajaan seperti yang dicadangkan Rafizi. Ini adalah cadangan yang semberono.

"Pengawalan seumpama itu, walaupun ia wujud, tidak memberikan perlindungan yang menyeluruh dan berkesan seperti yang disediakan PDPA.

"PDPA melindungi data berdasarkan prinsip yang dirangka secara cermat termasuk prinsip pendedahan, keselamatan, pengekalan dan integriti data," katanya dalam kenyataan.

Justeru, Zaid berkata Rafizi perlu faham yang pengawalan agensi kerajaan tiada perlindungan seumpama itu, justeru mendedahkan data orang ramai kepada risiko salah guna.

Padu dilancarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu. Terdahulu, Rafizi berkata seramai 261,158 rakyat Malaysia telah melengkapkan pendaftaran mereka dalam tempoh 48 jam pertama.

Menjelaskan yang data kerajaan di seluruh dunia tertakluk kepada undang-undang seperti PDPA, Zaid menyuarakan rasa kecewa apabila Rafizi mendakwa data rakyat Malaysia tidak memerlukan perlindungan serupa.

"Hakikatnya, hanya Malaysia dan Singapura yang mengecualikan data kerajaan daripada regim perundangan PDPA.

"Ini bukan saja memalukan negara tetapi turut memberi kesan terhadap perdagangan dan perniagaan dengan entiti dari negara yang ada regim perlindungan data peribadi yang lebih ketat. Pastinya menteri ekonomi perlu ambil berat berkenaan hal ini.

"Keengganan menteri agar data kerajaan tertakluk di bawah PDPA tidak dapat difahami dan bertentangan dengan trend global," katanya lagi.

Zaid juga menegaskan isu perlindungan data telah menjadi keutamaan global dan tidak boleh diketepikan begitu saja.

"Dakwaan Rafizi bahawa ada perbezaan antara PDPA dan data kerajaan mencerminkan kelemahan logik dan pemahaman yang serius.

"Ciri dan nilai data peribadi adalah sama, tanpa mengira sama ada ia digunakan oleh kerajaan atau perniagaan, dan perlu dilindungi sama ada di tangan kerajaan mahupun sektor swasta," katanya lagi.