Warga emas masih pilih kaedah bersemuka untuk faham Padu
Kaedah konvensional atau bersemuka masih lagi menjadi pilihan dalam kalangan warga emas untuk memahami pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (Padu) dengan lebih jelas.
Bagi mereka, pendekatan “turun padang” untuk hebahan lebih meluas menerusi penerangan secara bersemuka memudahkan golongan berusia untuk melakukan pendaftaran sekali gus mengelakkan mereka daripada tercicir.
Bagi Penduduk Felda Krau 1 di Raub, Jalilah Amin, 60, walaupun mengetahui pelaksanaan Padu melalui hebahan media, wanita warga emas itu masih belum memahami dengan jelas mengenai kepentingannya kepada rakyat yang mendaftar melalui sistem berkenaan.
"Bila ada sesi penerangan bersemuka, baru tahu kena daftar di Internet. Selalunya benda-benda begini (pendaftaran secara dalam talian), anak yang bantu dan setakat ini, mereka belum bertanya (sudah mendaftar atau belum)... mungkin disebabkan masih baru," kata ibu kepada lima orang anak ini.
Sebagai individu yang berumur, Jalilah yang menetap di tanah rancangan bersama suami dan anak bongsu berusia 16 tahun mengakui lebih selesa sekiranya maklumat berkaitan Padu diedarkan dalam bentuk bacaan ringkas seperti risalah dengan bahasa mudah difahami.
Berbeza pula dengan warga emas, Wong Cheng Huat, 71, dari Kuantan yang mengetahui mengenai pelaksanaan sistem Padu daripada jirannya yang bertanya sama ada jurujual ini sudah membuat pendaftaran atau sebaliknya.
“Saya penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bimbang juga sekiranya tidak mendaftar, ada bantuan lain yang tidak diterima pada masa depan. Bagus dia sudi bertanya dan jiran saya lebih muda dan dia lebih peka dengan perkara seperti ini.
"Saya setuju (mendaftar) selepas berpuas hati dengan penerangan dia (jiran) dan kami bersama-sama dapat menyelesaikan proses pendaftaran dalam tempoh kurang 10 minit,” katanya.
Bagi pekerja am T Letchumi, 63, juga dari Kuantan berhasrat ke Pusat Ekonomi Digital (Pedi) dalam masa terdekat bagi mendapatkan penerangan lanjut mengenai Padu dan akan berkongsinya dengan rakan sekerja supaya dapat mendaftar sebelum tarikh tutup pendaftaran, 31 Mac tahun ini.
Selain itu, Pusat Komuniti Desa yang merupakan lokasi tumpuan penduduk luar bandar terutama warga emas untuk menggunakan Internet bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai bantuan kerajaan turut memainkan peranan penting dalam menjelaskan Padu kepada mereka.
Sementara itu Pengurus Pusat Komuniti Desa Serting Ilir, Negeri Sembilan, Nurulazma Shafiqa Khairul Azhar berkata pendaftaran Padu di kawasan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sejak ia dilancarkan apabila ramai yang datang ke pusat berkenaan bagi mendapatkan bantuan penjelasan mengenainya.
“Bagi penduduk di luar bandar, pusat komuniti desa adalah tempat rujukan mendapatkan maklumat yang tepat dan menjadi tanggungjawab saya memberikan penerangan kepada penduduk kampung di sini. Kebanyakan warga emas memerlukan bantuan mengisi maklumat secara dalam talian,” katanya.
Manfaatnya dirasai, Azizah Manap, 67, yang menyifatkan pendaftaran sistem tersebut mudah, cepat serta yakin maklumat diberikan adalah selamat dengan bimbingan pengurus pusat komuniti desa biarpun pada awalnya agak keliru dan meragui sistem berkenaan.
“Saya tidak pernah menerima apa-apa bantuan sebelum ini, mungkin saya tidak tahu saluran mana perlu dipohon, jadi apabila ada sistem begini saya harap bantuan dan inisiatif diberikan kepada penduduk luar bandar dan warga emas dapat dipermudahkan,” katanya.
Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Jan lepas ialah hab data negara yang selamat dan komprehensif untuk mengelakkan berlakunya keciciran dalam pengagihan bantuan serta subsidi kerajaan.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai