Skip to main
Logo Malaysiakini

Keputusan rakan kerjasama BN di Sabah dibuat lepas bubar DUN - Zahid

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan rakan kerjasama BN dan Umno bagi pilihan raya negeri Sabah ke-17 akan datang hanya akan ditentukan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubar.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas majlis rumah terbuka Krismas di Kota Belud, Sabah, Zahid berkata, BN bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja dan mana-mana parti.

"Kita punya pendirian politik ini pragmatik dan jalinan kerjasama (pada PRN Sabah) boleh dilakukan dengan mana-mana parti politik, yang penting kerajaan ditubuhkan mendapat dukungan majoriti rakyat.

"Dalam perkara ini, kepentingan utama (adalah untuk) kukuhkan kerajaan Perpaduan, sama ada di peringkat nasional atau negeri, semangat itu harus ada.

“Pemutusan akan dibuat setelah DUN (Sabah) dibubarkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian di Kota Belud hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick yang juga Adun Kadamaian.

Presiden Umno itu juga menyangkal dakwaan bahawa dia hadir di Sabah ketika ribut politik di negeri berkenaan. Sebaliknya, katanya, tiada sebarang pergolakan politik besar berlaku di Sabah ketika ini.

"Saya ingin menolak dakwaan bahawa terdapat kemelut politik di Sabah. Sebaliknya, keberadaan saya di negeri ini bagi menghadiri Majlis Peluncuran Pembangunan Kedamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kedamaian 2023.

"Tidak wujud kemelut politik di Sabah. Namun, perjumpaan saya dengan rakan-rakan kepimpinan politik terutamanya Umno (malam tadi) hanya bertujuan mengemas kini beberapa kerja-kerja politik, khususnya di dalam penyusunan struktur jentera setelah selesai pilihan raya umum (PRU) dan PRN di enam negeri sebelum ini,” katanya.

Menurut Zahid, walaupun PRN Sabah hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada akhir tahun depan tetapi tidak salah jika Umno melakukan tindakan siap siaga.

"Jangan ada mana-mana pihak yang membuat analisis atau spekulasi bahawa sesuatu sedang berlaku dari segi politik di negeri Sabah," katanya lagi.

Semalam, Zahid dipetik media sebagai berkata dia akan berada di Sabah untuk menyelesaikan ketegangan politik yang dilaporkan berlaku di negeri itu.

Walaupun berlaku pertemuan tertutup dengan pemimpin Umno Sabah, namun tiada kenyataan berhubung perkara itu dikeluarkan.

Perjumpaan itu antara lain dihadiri Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin; Bendahari Umno Sabah, Salleh Said Keruak; Setiausaha Umno Sabah, Jafry Ariffin dan Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Senator Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dan beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, antara mereka, ohamad Alamin dan Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Sabah dijangka mengadakan pilihan raya negeri tahun depan, walaupun terdapat jangkaan bahawa Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mungkin akan membubarkan DUN seawal tahun ini.

Sementara itu, Zahid berkata BN akan terus menjadi dominan dengan sokongan parti lain.

“Kita hargai usaha Bung Moktar Radin dalam menyatukan akar umbi sehingga ke peringkat negeri.

“Dan saya percaya dengan kepimpinan Bung Moktar, dengan bantuan Abdul Rahman Dahlan, dan pemimpin lain yang bukan dalam BN, kita akan berjaya lagi.

“Insya-Allah kita akan menjadi dominan jika parti lain turut menyokong kita,” katanya.

Umno Sabah yang diketuai Bung Moktar sebelum ini, yang juga ahli Parlimen Kinabatangan, menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Warisan di bawah pimpinan presiden parti itu, Shafie Apdal.

Kerjasama itu akan menyaksikan Umno Sabah dan Warisan menentang GRS yang diketuai Hajiji, serta komponen Pakatan Harapan.

Sebelum ini, Shafie berkata kerjasama antara Warisan dan Umno boleh dilakukan demi kepentingan semua rakyat Sabah.

Begitu juga, Bung Moktar yang adalah bekas timbalan ketua menteri Sabah, juga dilaporkan mengaku Umno tidak mempunyai sebarang keraguan untuk bekerjasama dengan Warisan.

Semua parti itu adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan persekutuan selepas PRU15.

Baik GRS mahupun Warisan tidak mempunyai jumlah ahli Parlimen yang mencukupi untuk mengugat pegangan kuasa kerajaan persekutuan.