Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid harap MCA, DAP selesaikan perbezaan pendapat

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap MCA dan DAP dapat menyelesaikan perbezaan pendapat membabitkan pemimpin kedua-dua parti.

Beliau berkata perbezaan pendapat adalah proses biasa dalam sistem berpolitik dan pernah berlaku membabitkan dua parti yang mewakili kaum Cina dalam BN sebelum ini iaitu MCA dan Gerakan.

"Biarlah mereka selesaikan sendiri, dulu MCA dengan Gerakan macam itu juga," kata Ahmad Zahid kepada pemberita selepas mesyuarat penyelarasan bersama kepimpinan tertinggi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Perdebatan antara kedua-dua pihak tercetus selepas MCA dilihat lantang mengkritik beberapa dasar kerajaan menyebabkan DAP mengeluarkan kenyataan keras terhadap parti komponen BN itu.

Antaranya Naib Pengerusi DAP Teresa Kok mendakwa MCA sebagai 'sesat' selain mengesyorkan agar ia keluar BN serta memperbaharui hubungan dengan Bersatu dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

Mengenai dakwaan bahawa PN sudah memiliki jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menukar kerajaan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata dokumen tersebut tidak sah.

“Dakwaan ada Ahli Parlimen UMNO-BN yang menandatangani SD itu juga tidak timbul kerana SD itu sebenarnya tidak ada,” katanya.

-Bernama