Zahid: Langkah Dubai akan gagal kerana kerajaan disokong 150 MP
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyifatkan ‘Langkah Dubai’ tidak akan berjaya kerana Kerajaan Persekutuan yang berada di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan 150 ahli parlimen ketika ini.
Presiden UMNO itu malah membidas tindakan segelintir pemimpin parti politik, yang sepatutnya memikirkan bagaimana caranya untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat.
“Saya berpandangan ia (Langkah Dubai) tidak akan berlaku kerana kita ada 150 ahli parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan. Saya fikir, eloklah mereka yang mempunyai angan-angan besar untuk menjadi Perdana Menteri atau partinya mahu melonjakkkan seseorang untuk menjadi Perdana Menteri, supaya tidak membuang masa rakyat.
“Rakyat sudah muak dan telah belajar daripada (pengalaman) lepas, tiga orang telah menjadi Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Taman Kota Jaya, di Kota Tinggi, Johor, semalam.
Ahmad Zahid berkata sepatutnya perhatian diberikan juga kepada bagaimana untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi, mewujudkan lebih banyak pekerjaan sekali gus mengurangkan pengangguran dan inflasi.
“Ada berlaku perubahan keyakinan yang positif pelabur luar, saya mahu ahli politik yang kononnya taat setia kepada negara, mesti mendukung apa yang Perdana Menteri buat.
“Jangan jejaskan keyakinan itu dengan mengatakan kerajaan ini goyah ataupun mahu bertukar (kerajaan). Saya fikir rakyat telah muak. Jika nak bercerita tentang tebuk atap (tukar kerajaan), tunggu bila Pilihan Raya Umum nanti,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita seorang pemimpin politik yang mendakwa gabungannya telah memperolehi Akuan Bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai