Skip to main
Logo Malaysiakini

Thailand draf undang-undang hadkan penggunaan ganja

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Draf undang-undang baru untuk melarang penggunaan ganja bagi tujuan rekreasi di Thailand dijangka siap minggu depan.

Menteri Kesihatan Thailand Cholnan Srikaew berkata setakat ini draf rang undang-undang itu belum lengkap dan justeru itu belum dihantar kepada kabinet untuk kelulusan, lapor Bangkok Post.

Dia berkata demikian selepas kumpulan pro penggunaan ganja mengkritik keputusannya menyokong draf itu tanpa melaksanakan perbincangan awam seperti dijanjikannya.

Cholnan berpendirian bahawa ganja harus digunakan untuk tujuan perubatan sahaja, selaras dengan dasar perdana menteri yang dinyatakan dalam parlimen negara itu.

Cholnan Srikaew

Dia berkata ganja mengandungi lebih daripada 0.2% tetrahidrokanabinol (THC), bahan kimia aktif dalam ganja, akan dikelaskan sebagai dadah.

Dia berkata, kedai-kedai yang sudah menjual ganja dibenarkan untuk beroperasi kerana mendapat kebenaran sebagai premis perniagaan. 

Katanya, rang undang-undang yang dirancang akan bertumpu kepada pengawalan penyalahgunaan ganja.

Sementara itu, sebuah persatuan perniagaan di Jalan Khao San, Bangkok berkata ramai pelancong berkunjung ke situ kerana Thailand adalah satu-satunya negara di Asia yang tidak mengharamkan ganja.

Kedai-kedai ganja di Jalan Khao San mampu menjana keuntungan sebanyak 20 ke 30 juta baht (lebih kurang RM2.5 ke RM4 juta), kata Presiden Persatuan Perniagaan Jalan Khao San, Sa-nga Ruangwattanakul.

“Jalan Khao San Road dianggap sebagai salah sebuah destinasi pelancongan terkenal di Thailand yang harus dikunjungi oleh pelancong asing,” katanya. 

Katanya, jika ganja dihadkan kepada kegunaan perubatan, ia akan memberi kesan yang besar terhadap kedai yang menjual ganja di kawasan-kawasan pelancongan.

Dia juga berkata kerajaan harus mengisytiharkan sesuatu kawasan itu sebagai zon ganja, seperti kawasan pelancongan.