Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua anggota polis direman disyaki samun, rogol pelajar

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Polis Selangor menahan dua anggotanya selepas disyaki terlibat dalam kes samun dan merogol membabitkan mangsa seorang pelajar lelaki dan perempuan sebuah kolej swasta.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan (gambar judul) berkata mangsa lelaki merupakan warganegara dan rakannya bukan warganegara manakala kedua-dua suspek ditangkap semalam dan direman selama seminggu.

"Kejadian berlaku pada 9 Jan (Selasa) lalu kira-kira jam 10 malam, ketika itu mangsa berada di Bukit Ampang View ditahan dua suspek lelaki yang lengkap beruniform.

"Suspek bertindak membawa kedua-dua mangsa ke tempat berasingan dalam kejadian tersebut.

"Salah seorang suspek telah bertindak merogol mangsa wanita, manakala mangsa lelaki dibawa ke bank kerana perlu menjelaskan bayaran yang diminta kedua-dua suspek atas kesalahan lalu lintas," katanya pada kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, China Press melaporkan pelajar perempuan berkenaan yang berusia berusia 17 tahun.

Mengulas lanjut, Hussein berkata bagi kes berkenaan dua kertas siasatan dibuka mengikuti Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

"Bagi kesalahan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara maksima 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat," katanya.

Tambahnya, siasatan kes masih dijalankan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat dengan kejadian ini boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang di talian 03-42897222 bagi membantu siasatan.

"Pihak polis juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam mana-mana kes jenayah ataupun mana-mana salah laku dan siasatan akan dijalankan secara telus," tegas Hussein.