Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam Najib gesa Fahmi arah Netflix henti tayang dokumentari 1MDB

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Pasukan perundangan bekas perdana menteri Najib Razak telah menghantar surat kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Fahmi Fadzil agar kerajaan memaksa Netflix mengeluarkan dokumentari berkaitan 1MDB "Man on the Run" pada platform mereka.

Menurut salinan surat yang dikeluarkan kepada kementerian semalam, firma guaman Shafee and Co memaklumkan kepada Fahmi bahawa dokumentari itu mengandungi beberapa komen orang yang ditemu bual yang menghina mahkamah kerana perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.27 bilion (1MDB-Tanore) kes) terhadap Najib masih berjalan.

Peguam berhujah bahawa kenyataan yang disiarkan dalam dokumentari itu adalah bersifat "fitnah, subjudis, prejudis, berat sebelah dan belum dan/atau tidak pernah dibuktikan melalui sama ada keterangan dokumentari mahupun keterangan lisan saksi-saksi yang telah dikemukakan di dalam mana-mana perbicaraan".

Dalam surat itu, pasukan undang-undang Najib memberikan beberapa transkrip temu bual dokumentari itu yang didakwa sebagai subjudis kepada perbicaraan 1MDB yang sedang berjalan di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Orang yang ditemu bual yang disebut dalam transkrip itu ialah bekas peguam negara Tommy Thomas, bekas duta AS ke Malaysia John R Malott, pengasas Sarawak Report Clare-Rewcastle Brown, bekas pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS ke Malaysia Charles O'Neal (Chuck) dan David Smith, bekas ahli parlimen Damansara Tony Pua serta Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Peguam-peguam itu mengingatkan Fahmi bahawa Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada badan kehakiman Malaysia untuk menghukum mana-mana tindakan penghinaan terhadapnya, serta Seksyen 13 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Peguam menggesa menteri mengambil tindakan terhadap pembuat dokumentari itu di bawah Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperkatakan larangan kandungan yang menyinggung perasaan.

“Akhir kata, pihak kami percaya bahawa YBhg. Tuan, YBhg. Tan Sri, dan YBhg. Datuk prihatin dan mengambil maklum terhadap wujudnya keperluan untuk melindungi hak anak guam kami ini terhadap satu perbicaraan yang adil tanpa fitnah atau penghinaan mahkamah mahupun pernyataan-pernyataan di luar mahkamah yang bersifat prejudis dan juga menghina mahkamah yang sudah pasti berkemampuan untuk menjejaskan hak anak guam kami untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil," kata peguam Najib.

Surat itu juga telah disalin untuk rujukan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, dan pihak pendakwaan di Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Najib Alaistair Brandah Norman mengesahkan surat itu dihantar sekitar jam 4 petang semalam.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi kementerian dan pihak pendakwaan, serta pembuat dokumentari dan orang yang ditemu bual, untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai perkara itu.

Pada 8 Jan, pada permulaan perbicaraan Mahkamah Tinggi 1MDB, peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah mengenai hasrat Najib agar kerajaan memaksa Netflix mengeluarkan dokumentari itu.