Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenapa orang Malaysia serbu Hat Yai?

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Pada penghujung tahun lepas, pelancong Malaysia menyumbang kira-kira 2 bilion baht (RM267 juta) kepada ekonomi Thailand kerana ramai melancong ke Hat Yai.

Sempadan menjadi sesak dan orang ramai berpusu-pusu ke bandar terbesar di selatan negara gajah putih itu sempena cuti krismas dan cuti sekolah hujung tahun.

Rata-rata memberi alasan belanja yang lebih murah. Persoalannya, adakah perkara ini benar?

Menurut penggemar barangan terpakai atau bundle, Muhammad Zakir Rosli, 28, harga yang ditawarkan di sana amat berpatutan.

 “Barangan terpakai (bundle) di sana murah dan berbaloi. 

“Sepasang kasut berjenama boleh didapati lebih kurang 100 baht (RM13) sahaja bergantung ke atas keadaan kasut tersebut,” katanya yang berkhidmat sebagai penolong pengurus di sebuah sebuah pasar raya.

Hotel 2 bintang macam 5 bintang

Katanya, harga sepasang kasut berjenama yang terpakai di Malaysia dalam lingkungan RM40 ke atas.

Selain itu, menurut Zakir, hotel di sana juga murah serta lokasinya juga strategik.

 “Hotel dia murah, selesa dan tak berbau. Hotel dua bintang kelihatan seperti lima bintang. Turun hotel terus nampak makanan. 

“Hotel di sana juga boleh mendaftar masuk bilik lebih awal dalam pukul 11 pagi, bergantung kepada kekosongan,” katanya kepada Malaysiakini.

Perkara sama dikatakan oleh seorang lagi pelancong, Nurul Shafinah Ain Uttohjama, 24, yang melancong ke Hat Yai pada Ogos lalu. 

 “Turun sahaja hotel dapat membeli makanan yang murah jika hendak dibandingkan dengan harga-harga makanan di berhampiran hotel-hotel di Malaysia,” kata pelajar asal Sabah itu.

Dia menginap di sebuah hotel di Jalan Ratyindi, yang berdekatan kawasan pelancongan yang terdapat banyak makanan ringan seperti dim sum dan ayam goreng.

Bertiga naik motor 

Sementara itu, seorang pelajar universiti yang berasal dari Johor, Azad Mohd Razin, 23, berkata dia dan tiga orang rakannya melancong ke Hat Yai kerana lebih ‘mesra bajet’.

 “Kami ke Thailand kerana senang nak pergi. Kami pergi ke Hat Yai hanya menaiki motosikal dari Kedah. 

“Jika ingin melancong ke Indonesia, harga tiket penerbangan mahal, jika ingin ke Singapura pula mata wangnya lebih tinggi,” katanya.

Katanya, kos mereka selama dua hari satu malam di bantar itu hanya lebih kurang RM110 (830 baht) seorang.

Azad berkata dia membayar insurans Thailand  sebanyak RM35 (264 baht) dan kad sim telefon bimbit berharga RM20 (151 baht).

 “Kami pergi empat orang. Bilik hotel dalam RM50 (378 baht) bahagi empat orang kira-kira 189 baht (RM25).

 “Nasi berlauk dan air seorang kira-kira 80 hingga 100 baht lah (RM10.50 ke RM13),” sambungnya.

Azad berkata mereka melancong ke Hat Yai untuk merasai makanan jalanan.

 “Kami akan berkongsi duit di semua tempat yang kami beli makanan, jadi semua orang dapat merasainya,” katanya.

 Purata harga makanan jalanan yang dibeli adalah RM4 (30 baht) dan ke atas.

 Bagaimanapun Azad berkata hanya perkara itulah yang menarik perhatian mereka.

“Perkara lain (di Hat Yai) lebih kurang sama sahaja seperti di Malaysia,” katanya.