Skip to main
Logo Malaysiakini

LFL: K'jaan jangan layan Najib minta turunkan dokumentari

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Kerajaan tidak harus melayan permintaan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menurunkan dokumentari 'Man on the Run' daripada Netflix, kata NGO Lawyers for Liberty (LFL) hari ini.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata tindakan Putrajaya mempertimbangkan atau membenarkan permohonan sedemikian adalah melanggar undang-undang kerana Netflix tidak tertakluk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM).

Selain itu, LKL menegaskan penyingkiran dokumentari oleh kerajaan juga akan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara.

Menurut Zaid, LFL terkejut apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu pemberita semalam bahawa pihak berkuasa akan mempertimbangkan permintaan Najib itu.

"Kami terkejut dengan maklum balas perdana menteri, serta komen Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini bahawa 'sekiranya ada (permintaan), kita akan melalui proses itu’.

"Kerajaan tidak mempunyai kuasa sedemikian untuk mempertimbangkan atau membenarkan permohonan sedemikian oleh Najib kerana ia akan menjadi pelaksanaan kuasa yang menyalahi undang-undang," kata kenyataan itu.

Sebagai perkhidmatan penstriman internet antarabangsa, Zaid berkata Netflix tidak tertakluk kepada AKMM.

Kata Zaid, tindakan menurunkan dokumentari itu akan menyamai penapisan dan ini bertentangan dengan Seksyen 3(3) AKMM yang menyatakan bahawa undang-undang itu tidak membenarkan penapisan internet.

Najib harus membawa perkara itu ke mahkamah jika dia berasa terkilan dengan kandungan Man on the Run, jelasnya.

"Sama ada sebarang bahan atau penerbitan adalah sub judice mesti diputuskan oleh Mahkamah dan bukan melalui "permintaan" luar biasa kepada kerajaan.

"Sebarang remedi mesti diperoleh melalui tindakan undang-undang persendirian yang dimulakan oleh orang yang terjejas, iaitu Najib dalam kes ini, dan bukannya campur tangan eksekutif.

"Pendek kata, seperti orang lain, Najib mesti mendapatkan perintah daripada mahkamah.

"Selain itu, sekiranya kerajaan meluluskan permintaan itu dan mengeluarkan dokumentari itu daripada Netflix, mereka akan dilihat telah menggunakan kuasa mereka untuk bersetuju dengan permintaan oleh seorang ahli Umno berpengaruh daripada sekutu politik mereka , yang mana persepsi adalah kutukan terhadap tadbir urus yang baik," kata Zaid lagi.

Pada 8 Jan, Najib melalui peguambela utamanya dalam perbicaraan kes 1MDB, Muhammad Shafee Abdullah (gambar atas) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia mahu kerajaan menurunkan dokumentari itu.

Dakwanya, dokumentari itu "menghina dan sub judice" terhadap perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.27 bilion yang sedang dijalankan terhadap Najib.

Susulan itu, pasukan peguam Najib turut menghantar surat kepada Fahmi menggesa kerajaan memaksa Netflix menurunkan dokumentari berkaitan 1MDB itu.