Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN l Perihal penjenayah, orang buruan dan pelarian

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

ULASAN l Sekarang sibuk balik kisah Jho Low, konspirator bersama skandal penipuan 1MDB, berikutan penayangan drama dokumentari, "Man on the run".

Jho Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho, inilah yang bersekongkol dengan bekas Perdana Menteri, Mohd Najib Razak, menipu 1MDB.

Akibat konspirasi mereka, kita menanggung hutang RM53.5 billion. Jumlah ini cukup untuk membiayai 3.4 juta sarjana muda perubatan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Sehingga tahun lalu, kita telah bayar RM43.8 bilion. Baki ada lagi RM9.7 bilion.

Jadi janganlah tergila-gila dan terburu-buru mengampunkan penjenayah yang sudah dihukum dan melepaskan yang belum ditangkap.

Jho Low, anak jutawan Pulau Pinang, Larry Low Hock Peng (Tan Sri) ini menjadi orang buruan Malaysia apabila skandal 1MDB meledak pada tahun 2014. Menurut jawapan Parlimen pada 16 Mac tahun lalu, selain Jho Low ada empat lagi orang buruan 1MDB iaitu Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Jasmine Loo and Eric Tan Kim Loong. Turut dinamakan adalah Nik Faisal Ariff Kamil. Terbaru adalah menantu Mahiaddin Md Yasin, Muhammad Adlan Berhan.

Cerita saya kali ini bukanlah sangat mengenai orang buruan Jho Low dan gerombolannya yang sudah diketahui umum tetapi mengenai pelarian Malaysia amnya.

Pelarian ini ada beberapa jenis. Ada yang cabut lari ke luar negara kerana mereka tahu mereka telah melakukan jenayah atau kerana dikaitkan dengan ahli politik yang melakukan jenayah.

Perbuatan lari ke luar negara dan menjadi orang buruan (wanted person) bukanlah perkara baru.

Antara yang terawal adalah ketika pemberontakan kampus pada awal 1970-an. Bilangan mereka tidak ramai, kesalahan mereka pun tidak besar dan mereka bertindak atas landasan idealisme remaja dan ideologi kiri. Mereka tidak mencuri malah lari sehelai sepinggang.

Gelombang kedua adalah ketika pemecatan Anwar Ibrahim dari Umno dan kerajaan pada tahun 1998. Gelombang ini agak besar kerana penyokong Anwar ramai dan banyak daripada mereka mempunyai kekayaan yang memampukan mereka lari.

Yang maha kaya (ungkapan yang dikreditkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim) lari ke negara-negara mahal macam United Kingdom, Australia dan Kanada. Yang kaya sederhana lari ke Indonesia. Yang tidak mampu atau yang berani buat berani tanggung tidak lari ke mana-mana.

Ada yang lari seorang diri dan ada dengan keluarga sekali. Mereka membeli rumah newah dan menyekolahkan anak-anak di universiti "ivy league" sambil menunggu masa mentor mereka yang dipenjarakan bebas.

Hari ini, kecuali orang buruan 1MDB, boleh kata semua pelarian Malaysia sudah pulang. Malah ada yang kembali menjadi maha berpengaruh dalam kerajaan dan perniagaan.

Namun adalah tidak menghairankan kalau mereka masih menggunakan tempat-tempat di luar negara bagi menjalankan kegiatan politik dan kewangan "clandestine" mereka.


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.