Skip to main
Logo Malaysiakini

RUU kekal k'jaan lengkap sepenggal halang cubaan khianati rakyat

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Cadangan mewujudkan rang undang-undang (RUU) mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga tamat penggal dilihat sebagai langkah tepat bagi menghalang tindakan mengkhianati mandat rakyat.

Menurut pandangan penganalisis politik, terdapat kewajaran RUU itu diperkenalkan termasuk menghalang tindakan sesetengah pihak yang mahu menggulingkan kerajaan semasa atas alasan tidak kukuh atau tidak munasabah sehingga mengetepikan sistem parlimen sebagai medan berdemokrasi.

Hal ini berikutan, lazimnya negara ditadbir kerajaan yang dibentuk oleh parti politik yang mendapat mandat atau undian rakyat menerusi proses pilihan raya dan langkah menggulingkan kerajaan pula seperti pengkhianatan.

Geostrategis dan penganalisis politik daripada Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Prof Azmi Hassan berkata berdasarkan peristiwa menukar atau menggulingkan kerajaan yang terjadi sebelum ini, ia dilakukan berdasarkan keputusan yang dibuat ahli parlimen dan tanpa melibatkan mandat rakyat.

“Apabila berlakunya Langkah Sheraton (2020) dan kini timbul pula dakwaan Langkah Dubai, yang pasti wakil rakyat terlibat tidak pernah bertanya dan minta pendapat rakyat (untuk tukar kerajaan atau perdana menteri).

“Sebab itu dikatakan langkah atau cadangan untuk menggubal rang undang-undang ini dapat mengembalikan suara rakyat sepenuhnya,” katanya kepada Bernama.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya satu RUU bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir sehingga akhir penggal dibentangkan di parlimen.

Langkah itu disarakan supaya mengelak peristiwa seperti pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 berulang.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata rang undang-undang itu boleh menjadi mekanisme lebih berpelembagaan dan berparlimen dalam isu memuktamadkan keabsahan sesebuah kerajaan.

Dia mencadangkan jika rang undang-undang itu digubal, elemen membawa usul ke parlimen perlu dijadikan sebagai imperatif atau asas penting untuk menguji keabsahan sesebuah kerajaan atau sokongan terhadap seseorang perdana menteri.

Katanya itu bermakna setiap cadangan untuk menukar kerajaan atau perdana menteri perlu dibawa kepada pengetahuan dan perbincangan Dewan Rakyat seperti membawa usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

“Ketika ini, terdapat pihak yang menggunakan kaedah akuan bersumpah atau SD, sedangkan kita ada sistem parlimen untuk menyatakan sama ada mereka (ahli parlimen) masih mempercayai perdana menteri atau sebaliknya.

“Sokongan harus dilakukan dengan undi percaya di Dewan Rakyat sahaja bukan berdasarkan SD semata-mata. Itu yang paling perlu ditegaskan kepada mana-mana parti politik terutama pembangkang,” katanya.

Menurut Awang Azman, kesan trend penggunaan SD dapat dilihat dalam beberapa siri kemelut politik yang berlaku apabila kerajaan Persekutuan bertukar dua kali dalam tempoh sepenggal.

Kemelut politik negara pada 2020 hingga 2022 menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dan dua kerajaan, sebelum parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU ke-15 pada 19 Nov 2022.

Namun sekali lagi berlaku episod kebuntuan dengan situasi parlimen tergantung apabila tiada parti mendapat undian majoriti rakyat.

Mengulas perkembangan dan suhu politik negara ketika ini, Azmi berpendapat blok pembangkang seharusnya memainkan peranan mereka sebagai mekanisme semak dan imbang kepada dasar yang diperkenalkan kerajaan, bukannya terlalu fokus untuk mengambil alih pentadbiran.

Katanya, ketika ini pembangkang dilihat tidak sunyi dengan permainan sentimen untuk menukar kerajaan Persekutuan.

“Walaupun lima ahli parlimen pembangkang sebelum ini sudah menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan perdana menteri (Anwar Ibrahim), sepatutnya mereka (pembangkang) sudah berhenti (sentimen).

"Mereka tahu mereka tak cukup nombor, tetapi hakikatnya mereka hanya ingin menggambarkan persepsi mereka itu kuat,” katanya.

- Bernama