Skip to main
Logo Malaysiakini

Lawan 'kuasa tular' Hat Yai - pensyarah

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Kerajaan harus melawan tanggapan bahawa kos melancong di negeri jiran seperti Thailand jauh lebih murah berbanding dalam negeri, kata pakar-pakar pelancongan.

Gesaan itu dibuat setelah Hat Yai, bandar terbesar di Selatan Thailand, berjaya ‘mencuri’ pelancong tempatan antara 10,000 hingga 20,000 rakyat Malaysia setiap hari.

“Perkara yang terbaik untuk kerajaan lakukan adalah melawan semula persepsi itu. 

“Kalau orang cakap Hat Yai lagi murah, kita kena dapatkan data. 

“Betulkah fakta itu atau sebenarnya tak,” kata Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ahmad Fitri Amir.

Ahmad Fitri Amir

Hat Yai menjadi tumpuan pelancong Malaysia dan dikaitkan dengan kemerosotan pelancong ke Langkawi khususnya ketika musim perayaan Deepavali pada November tahun lepas.

Bagaimanapun, hanya kira-kira sebulan selepas itu, pelancong Malaysia dilaporkan menyumbang kira-kira dua billion baht (RM 267 juta) kepada ekonomi Thailand.

Orang ramai menyerbu Hat Yai–yang hanya sejam perjalanan dari sempadan Kedah dan Perlis–khususnya ketika cuti sekolah, hari natal dan menjelang tahun baru 2024.

Menjawab soalan Malaysiakini, Fitri berkata kos melancong antara dalam negara seperti Langkawi dan Hat Yai sebenarnya lebih kurang saja.

Patung helang yang menjadi ikon Langkawi

Bagaimanapun, katanya, “kuasa tular” mewujudkan tanggapan sebaliknya.

“Kos di sana mungkin lebih kurang sama dengan kos dekat Malaysia atau mungkin lebih murah. 

“Cuma, kadang kadang itu persepsi sahaja,” katanya baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, harga penginapan mungkin berbeza mengikut lokasi.

“Saya tengok orang asyik banding Langkawi dengan Hat Yai kan, tapi sebenarnya kos lebih kurang sama saja. Ikut tempat yang kita tinggal.

“Saya selalu je pergi Langkawi. Boleh sahaja dapat lebih murah atau sama macam pergi Hat Yai,” katanya lagi.

Mengingatkan “kuasa tular” itu tidak lama, Fitri juga mencadangkan kerajaan mendapatkan pandangan pemain industri pelancongan tanah air untuk menggalakkan pelancongan domestik.

Promosi, pesan pensyarah

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Pengurusan Acara Universiti Utara Malaysia (STHEM UUM) Johan Afendi Ibrahim pula mencadangkan kerajaan, swasta dan pemilik produk lebih giat  melakukan promosi.

“Contohnya tahun ini tahun melawat Perlis, melawat Perak, melawat Melaka. 

“Promosi-promosi ini amat penting untuk bagi rakyat tahu ada produk baru dan ada tempat pelancongan menarik yang baru.

“Kerajaan dan swasta perlu menerokai sumber pelancongan yang baru. Pelancong kalau rasa dah biasa dengan tempat itu, mereka akan cenderung melawat destinasi baru,” katanya lagi.

Johan Afendi Ibrahim

Sementara itu, dalam bab tular, ahli akademik bergelar profesor madya itu senada dengan Fitri.

Katanya, ia amat berkesan khususnya kepada golongan muda dan pelajar universiti yang kerap menggunakan media sosial.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna golongan itu tidak suka melancong dalam negara.

“Berdasarkan pengalaman saya, pelajar pelajar atau golongan muda ini, sebenarnya menyukai juga melancong dalam negara kita terutama di kawasan sempadan Malaysia, Kedah, Perlis dan utara Perak,” sambungnya.

Johan juga mengingatkan bahawa trend melancong ke luar dan mengabaikan destinasi dalam negara akan memberi sedikit impak negatif terhadap sektor ekonomi tempatan.

Katanya, duit rakyat Malaysia akan mengalir keluar.

“Kesannya, kita kurangkan kekayaan sendiri dan berlaku kebocoran bila orang melancong ke luar negara,” katanya.