Skip to main
Logo Malaysiakini

Bendera putih kerana tak dapat bantuan air hanya 'silap faham'

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Seorang pesara tentera yang menaikkan bendera putih di pekarangan rumahnya di Kampung Air Tawar, Jertih, selepas tidak mendapat bekalan air selama dua hari pada minggu lepas, mengakui ia berpunca daripada salah faham.

Mengakui kesilapannya memuat naik perkara tersebut ke Facebook, Lt Kol (B) Mohd Rashid Mohamad Ibrahim, berkata kejadian itu berlaku akibat rasa tidak puas hatinya terhadap pengurusan pihak yang bertanggungjawab menghantar bantuan bekalan air dari rumah ke rumah.

Bagaimanapun, perasaan tidak puas hatinya itu meleset kerana ternyata kumpulan yang menghantar bekalan air itu bukanlah petugas Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) atau kerajaan negeri, sebaliknya sukarelawan.

“Dalam kejadian pada Sabtu lepas itu, saya lihat jiran-jiran saya mendapat bantuan air yang dihantar kumpulan berkenaan yang mengisi air ke dalam tangki atau bekas yang disediakan tuan rumah di hadapan kediaman masing-masing.

“Tapi, apabila sampai di rumah saya, petugas beritahu air dalam tangki mereka sudah habis dan akan datang semula.

"Namun sampai ke malam tidak ada sebarang bantuan bekalan air tiba sedangkan esoknya (Ahad) empat anak saya mahu bersekolah,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Jertih hari ini.

Akibat kejadian tersebut, Mohd Rashid, 63, berkata dia mengambil keputusan menaikkan bendera putih dan memasang lampu berdekatan tangki air di hadapan rumahnya.

Bagaimanapun bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu mendakwa tindakan tersebut bukanlah tanda protes atau membawa sebarang maksud negatif, sebaliknya sebagai penanda kepada petugas untuk memastikan mereka tidak terlepas mengisi air ke dalam tangki miliknya.

“Selain itu, apa yang saya maksudkan juga ialah sekiranya saya naikkan bendera putih bermakna air dalam tangki telah habis, dan jika sebaliknya, itu bererti air masih ada dan mereka tidak perlu turun kenderaan untuk periksa air di dalam tangki.

“Tapi sekarang apabila mengetahui semua petugas tersebut sebenarnya sukarelawan daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan, maka saya reda sahaja jika ada yang datang hantar air atau tidak di depan rumah saya.

"Sekiranya tidak ada, saya akan pergi ambil sendiri di mana lokasi yang sesuai,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Rashid berkata selepas kejadian itu, tangki air di rumahnya sentiasa diisi oleh pasukan sukarelawan dan dia mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bertugas tanpa mengira masa yang adakalanya sehingga ke awal pagi.

Kisah Mohd Rashid itu merupakan sebahagian daripada ribuan penduduk di beberapa kawasan di Besut terutama di Mukim Bukit Keluang yang mengalami masalah gangguan bekalan air sejak 1 Jan lepas.

Satu dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan masalah yang menjejaskan 11 kampung di sekitar Besut itu melibatkan 2,670 akaun pengguna.

Kata Satu, ia berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 600 milimeter di dasar Sungai Besut dan masalah itu dijangka hanya pulih pada 21 Jan ini.

Difahamkan status kerja-kerja pemasangan dan pembaikan paip di dasar sungai Besut berhampiran jambatan Kampung Lampu sedang giat dilaksanakan.

- Bernama