Mahkamah benarkan pelarian politik Bangladesh tangguh pengusiran
Ahli politik pembangkang Bangladesh MA Quayum, yang telah berlindung di Malaysia sejak 2015, telah diberikan perintah penangguhan pengusiran oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.
Permohonan penangguhan itu pada masa sama bertujuan memastikan Jabatan Imigresen tidak menghantar pulang pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) berkenaan.
Peguam Kee Shu Min berkata Hakim K Muniandy menjadualkan 5 April depan untuk mendengar permohonan habeas corpus untuk Quayum, atau dikenali sebagai permohonannya untuk mencabar penahanan imigresennya yang menyalahi undang-undang.
Menjelang perbicaraan, Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan kerajaan mengemukakan afidavit tambahannya pada 2 Feb dan Quayum untuk memfailkan jawapan balas pada 1 Mac.
Kee berkata kerajaan diarahkan untuk memfailkan pengesahan pada 15 Mac sebelum kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis mereka secara serentak pada 22 Mac.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy pada satu kenyataan hari ini berkata Quayum ditahan dalam operasi bersama yang dijalankan oleh polis Malaysia dan Perisikan Keselamatan Negara (NSI) Bangladesh pada 12 Jan di kediamannya di Ampang.
Quayum telah ditahan di ibu pejabat polis daerah Ampang Jaya dan dirujuk ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya, tambah Sevan.
Semalam, Sevan mendakwa permintaan menahan Quayum merupakan sebahagian daripada tindakan keras yang sistematik oleh kerajaan Bangladesh terhadap pembangkang politik.
“Sepanjang tahun lalu, menjelang pilihan raya Bangladesh baru-baru ini, pelbagai kumpulan hak asasi manusia antarabangsa melaporkan penangkapan sewenang-wenangnya, penahanan, penyeksaan dan layanan buruk terhadap pemimpin pembangkang dan anggota BNP oleh pihak berkuasa.
"Ramai yang berdepan pertuduhan rekaan, memaksa sesetengah orang untuk bersembunyi. Malah anggota pembangkang dan aktivis dalam buangan juga menjadi sasaran penganiayaan," katanya.
Quayum dilaporkan berada di bawah program rumah kedua sejak 2015 dan juga sebagai pelarian yang disenaraikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai