PULASAN | Masuklah kamu ke bangsa Melayu sepenuhnya
PULASAN | Malam itu begitu basah. Hujan lebat sejak senja dan laluan yang menghubungkan sebuah chalet dengan chalet yang lain di kawasan itu menjadi licin.
Gelap malam bersebati dengan bunyi titik-titik hujan menimpa daun, kayu dan apa saja, serta diperindah oleh deruan air sungai yang mengalir agak deras. Hujan petang membawa curahan air dari bukit tidak begitu jauh di bahagian timur dan masih bersisa pada awal malam itu.
Dia datang bersama sekaki payung ketika kami berehat sambil menikmati minuman panas yang baru dibancuh.
Dia seorang lelaki Cina yang menyapa dan menunggu sebentar di muka pagar chalet kami bagi menanti izin untuk masuk. Sudah tentu kami terkejut kerana kedatangan pemilik pusat percutian itu tidak dirancang atau diberitahu lebih awal.
Kami menyantuni lelaki itu seadanya. Kami tahu dia orang yang berharta, malah kemungkinan seorang jutawan. Mengendalikan sebuah pusat peranginan yang agak 'tersorok' dari dunia luar di Bentong dan pada masa sama mengusahakan ladang durian musang king melayakkan dia bermegah-megah.
Sebahagian daripada tanahnya yang luas itu dijual untuk dijadikan kuari.
Tapi lelaki berusia lebih 60 tahun itu kelihatan sangat sederhana.
"I never regret coming back to Malaysia," katanya serius, sambil sedikit tertunduk, barangkali untuk menyusun ayat sebaik mungkin, "I really love Malaysia."
Menjadi Melayu
Lelaki itu lahir di petempatan Kampung Baru Bentong dan proses belajar membawa dia sehingga ke AS. Habis berkuliah dia bekerja di negara Paman Sam itu selama bertahun-tahun. California adalah antara tempat dia mencari rezeki.
Tetapi pada akhirnya dia memilih untuk kembali ke tanah tumpah darahnya - Malaysia.
Itu hanyalah sekelumit daripada sekian banyak kisah masyarakat "bukan orang kita" yang mahu menjadikan tanah air ini sebagai tempat lahir dan mati masing-masing.
Tetapi dari beberapa aspek - malangnya - Malaysia ini bukan tempat yang mudah jika anda bukan seperti yang dimahukan oleh sesetengah pihak yang kononnya pejuang bangsa.
Namun ia bukanlah terarah hanya kepada masyarakat bukan Melayu. Pada masa sama di mata sesetengah orang, menjadi Melayu tidak memadai jika anda tidak menyertai sesuatu gerombolan yang bersifat ultra-Melayu.
Dalam keadaan begitulah seorang tokoh yang dianggap negarawan mencadangkan bahawa untuk menjadi rakyat Malaysia dan diterima - sekurang-kurangnya oleh dia dan penyokongnya - adalah dengan 'menjadi Melayu'.
Bahawa pentingnya bahasa Melayu menjadi bahasa utama sebagai wadah komunikasi awam dan alat perpaduan adalah benar, tetapi adalah salah pula untuk Dr Mahathir Mohamad memaksa orang bukan Melayu hidup dengan budaya dan adat Melayu.
Dalam pemikiran Mahathir selagi orang bukan Melayu hidup bersama adat dan budaya masing-masing, mati hidup balik pun mereka akan tetap dianggap pendatang.
Dan dia menjadikan individu yang berketurunan India, Pakistan, Arab, dan Afrika sebagai contoh proses asimilasi menjadi Melayu yang 'berjaya'.
Ketika semua pihak yang waras mahu seluruh rakyat menyayangi negara ini sebagai aset yang terlalu berharga, ada sesetengah kita meletakkan syarat tambahan - yang nampaknya tidak boleh ditoleransi sama sekali - untuk diterima sebagai warganegara.
Iaitulah 'menjadi Melayu'.
Fatwa Mahathir
Sudah tentu ia bukan suatu fakta yang benar. Menjadi rakyat di sebuah negara bernama Malaysia bermaksud menjadi individu atau kumpulan yang memiliki maruah yang tinggi, berdisiplin, berintegriti, bersama-sama membangunkan tanah air dan saling menghormati adalah antara ramuannya.
Menolak pengkhianatan, menghumban amalan rasuah, membunuh sentimen perkauman dan memulihara kesopanan adab juga adalah antara ciri yang mesti ada untuk menjadi seorang warga yang berguna.
Adakah semua orang bersetuju dengan pandangan Mahathir? Sudah tentu tidak, tetapi kelihatan ramai yang yang mendukung idea tersebut. Termasuklah parti-parti politik yang kononnya membawa fahaman sederhana.
PAS dan Bersatu, misalnya, setakat tulisan ini disiapkan masih membisu beribu-ribu bahasa untuk menegur atau menyanggah tokoh yang kini sangat disanjung mereka. Kata orang tua-tua, diam itu tandanya setuju.
Dari sudut yang lain juga, 'fatwa' Mahathir itu sangat tidak kondusif kepada perkembangan Islam secara tidak langsung.
Suatu ketika dulu pernah ada kekeliruan dalam kalangan orang bukan Melayu-Islam realiti yang bakal dilalui jika mereka mengucap dua kalimah syahadah.
Kemudian kekaburan itu perlahan-lahan dijernihkan. Antara isu utama yang berjaya dijelaskan oleh para pendakwah ialah, menjadi Muslim tidak menjadikan seseorang itu berubah bangsanya. Dalam konteks negara ini, Melayulah.
Atau dalam bahasa pasar: mengucapkan syahadah membuat seseorang itu 'masuk Islam' dan bukannya 'masuk Melayu'. Justeru banyak kerisauan berjaya dipadamkan melalui kefahaman sebegitu.
Tiba-tiba Mahathir hadir dengan idea yang berbeza.
Mahu menjadi tuan
Maka bolehlah dikatakan bahawa jika kamu seorang Melayu, kamu ada sebab yang ekstra untuk bersyukur. Selain beragama Islam dan mendapat pelbagai bantuan serta keistimewaan, kamu juga amat bertuah sebagai Melayu.
Melayu juga membolehkan kamu berbuat apa-apa yang tidak wajar kepada bangsa lain. Bermalas-malasan, misalnya, atau berkhianat dan memungkiri janji.
Tidak ketinggalan, sentiasa mahu menjadi tuan sesuai dengan kedudukan kita sebagai peribumi di tanah bertuah ini. Sikap mahu menjadi tuan itu membolehkan kita semua bermalas-malasan, atau sekurang-kurangnya tidak perlu bersungguh-sungguh melunaskan tanggungjawab kerja.
Jika bertani, cukuplah bertani lebih kurang dan kita menunggu bangsa lain untuk berjaya membenihkan padi dan mengenyangkan perut semua. Kalau bergetah, memadai kebun luas seadanya dan biarkan lalang atau rumput memanjang.
Kita upah pekerja asing membersihkan kebun dan tanah kita kerana masa untuk berlabun jauh lebih penting bagi suatu kaum yang menjadi tuan.
Tidak cukup dengan itu, kita boleh pula berkhayal tentang kehebatan Gunung Jerai serta bangsa Qanturah yang sangat gah itu. Kita juga berbangga kononnya kayu dari tanah inilah yang berjasa untuk dijadikan bahtera Nabi Nuh AS.
Di sebalik kemarahan kita kepada Zionis, kita juga sempat kembang telinga kerana ada ahli akademik yang 'menemui' maklumat bahawa Melayu ini adalah kaum percikan wanita Yahudi.
Lantaklah nak jadi apa pun, kerana dengan menjadi Melayu-Islam, kita akhirnya akan masuk ke syurga Tuhan walau apa pun kejahatan yang dilakukan. Pedulikan kebaikan apa saja bangsa lain kerana mereka akhirnya akan dihumban ke neraka jua.
Dengan selamba kita membakulsampahkan kewajiban untuk berlaku adil seperti diperintah Tuhan, kerana - kita rasa - menjadi Melayu itu sudah cukup untuk menjamin tempat di syurga.
Lahir sebagai manusia yang bukan berbangsa Melayu adalah satu hukuman. Jika 'sumpahan' itu mahu ditebus, abaikan segala cara yang ada kecuali berusahalah bermati-matian untuk menjadi Melayu.
Matlamat menghalalkan cara? Macam pernah dengar, kan? Kalau tak mahu percaya, sudah!
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan yang perasan dia boleh dipanggil profesor kerana selalu membaca Wikipedia.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai