Skip to main
Logo Malaysiakini

Banyak kes salah laku polis, NGO gesa pertingkatkan kuasa IPCC

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Persatuan Tindakan Semua Wanita (Awam) menggesa kerajaan meningkatkan kuasa dan kebebasan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) susulan peningkatan jumlah anggota polis yang didakwa di mahkamah.

Pengurus program Awam, Lilian Kok berkata ia penting kerana kes-kes tersebut menimbulkan keraguan terhadap keberkesanan suruhanjaya itu.

“Kami menyeru pihak berkuasa yang berkaitan untuk meningkatkan keupayaan IPCC dan memastikan ia mempunyai sumber yang diperlukan untuk menjalankan fungsinya dengan berkesan,” katanya kepada Malaysiakini.

Bulan lalu, seorang suspek meninggal dunia selepas empat hari berada dalam tahanan polis di Langkawi, Kedah.

Bulan lalu juga, seorang pegawai kanan polis ditahan kerana didakwa terlibat dalam kemalangan kereta yang mengorbankan seorang penunggang motosikal berusia 17 tahun di Ipoh, Perak.

Sebelum itu, pada November lalu, keluarga Mohd Nahar Kamsah yang meninggal dunia dalam tahanan di balai polis Sungai Besar di Selangor menggesa kes itu disiasat sebagai kes bunuh.

Sehubungan itu, Kok menggesa badan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil memberikan perhatian mereka terhadap peningkatan kes dakwaan salah laku polis kerana ia "sangat membimbangkan".

“Kejadian salah guna kuasa dan pecah amanah menjejaskan asas masyarakat yang adil dan memerlukan tindakan pantas dan tegas.

“Oleh itu, kerajaan mesti memberi tumpuan kepada kajian semula menyeluruh mekanisme pengawasan semasa untuk menangani perkara yang telah dikenal pasti oleh penganalisis dan aktivis,” tambahnya.