Skip to main
Logo Malaysiakini

Sarawak pula dilanda banjir

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Jumlah mangsa banjir yang direkodkan di Johor, Pahang dan Sabah tidak berubah sejak tengah malam tadi melibatkan 205 orang yang masih berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebanyak dua PPS di Segamat, Johor masih beroperasi dengan menempatkan 65 mangsa daripada 19 keluarga.

Status terkini di Pahang merekodkan dua PPS di daerah Rompin dengan 110 mangsa daripada 36 keluarga, manakala di Sabah, 30 mangsa daripada 16 keluarga masih berada di sebuah PPS di Beluran.

Sementara itu, Sarawak menjadi negeri terbaharu dilanda banjir melibatkan 30 mangsa daripada enam keluarga setakat pagi ini yang ditempatkan di sebuah PPS.

Kesemua mangsa banjir dari Kampung Lalang, Kampung Bungey dan Kampung Babu di Debak, kira-kira 270 kilometer (km) dari bandar raya Kuching itu ditempatkan di PPS Dewan Millenia yang dibuka pada 1.30 pagi tadi berikutan banjir yang melanda kawasan itu selepas hujan berterusan sejak semalam.

Berhubung perkembangan bagi insiden kebakaran di Sarawak, sebanyak 38 mangsa daripada 12 keluarga masih berlindung di sebuah PPS yang beroperasi di daerah Kuching pagi ini.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor, Kedah, Perlis dan Terengganu berada pada paras bahaya setakat pukul 6 pagi.

Sungai terlibat di Johor ialah Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Muar di Segamat, di Kedah (Sungai Kedah, Kota Setar), di Perlis (Sungai Arau) dan di Terengganu (Sungai Terengganu, Hulu Terengganu).

NADMA turut memaklumkan sebanyak 17 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh, antaranya Jalan Kuala Mentiga - Terapai di Pekan, Pahang, Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor dan Jalan Bukit Kayu Hitam - Bukit Tangga - Sintok di Kubang Pasu, Kedah.

- Bernama