Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes rumah Ngeh: Polis teruskan siasatan, tumpu di Perak

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Polis masih meneruskan siasatan bagi menjejak suspek dalam kes khianat api terhadap kediaman Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, Manjung pada 10 Jan lepas.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata setakat ini tiada tangkapan baru dilakukan pihak polis.

"Kita masih meneruskan siasatan untuk menjejak suspek, setakat ini tiada (saksi baru yang dipanggil). Siasatan masih diteruskan, sekarang siasatan (tertumpu) di Perak," katanya kepada Bernama hari ini.

Pada Selasa lalu seorang lelaki berumur 30-an dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Ia melibatkan perbuatan khianat dengan api kerana disyaki melontar kediaman Ngeh dengan molotov cocktail.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah dalam kenyataan pada hari itu berkata lelaki terbabit akan menjadi saksi sekiranya diperlukan.

Justeru, pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes kebakaran itu menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Azalan Ab Karim melalui talian 019-3927837 bagi membantu siasatan pihak polis.

Dalam kejadian awal pagi 10 Jan lalu rumah Ngeh dipercayai dilontar dengan molotov cocktail menyebabkan kebakaran yang memusnahkan sebuah kereta, manakala dua kenderaan lagi mengalami kerosakan.

- Bernama