Skip to main
Logo Malaysiakini

APMM tahan bot nelayan tempatan bawa pendatang tanpa izin

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah bot nelayan tempatan disyaki membawa pendatang tanpa izin warga Indonesia di perairan Tanjung Tuan semalam.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) mengesan sebuah bot mencurigakan dari laluan Skim Asingan Trafik (TSS) menuju ke Kuala Sungai Sepang, Selangor pada 12 tengah hari.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap bot, pihaknya menahan tiga individu terdiri daripada tekong dan seorang awak-awak rakyat tempatan serta seorang lelaki warga Indonesia berumur 49 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua mereka berserta bot dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khairi meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat salah laku di laut ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan menerusi talian 06-3876 730 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

- Bernama