Skip to main
Logo Malaysiakini

Petik kes Najib, Bersih gesa hentikan DNAA pada ahli politik

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh menghentikan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) dalam kes rasuah melibatkan ahli politik.

"Kami menolak DNAA diberikan kepada ahli politik dari mana-mana parti politik yang didakwa atas kes rasuah dan pecah amanah.

"Kami menggesa supaya mereka yang sedang berhadapan tuduhan kes rasuah ini untuk mempertahankan diri dan dibicarakan dengan seadilnya di mahkamah, dan bukannya digugurkan tuduhan mereka dengan ‘pengurniaan’ DNAA," Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Faisal merujuk kes pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan Najib Razak di mana mahkamah memberitahu bekas perdana menteri itu boleh memohon untuk mendapatkan DNAA jika pendakwa raya pada September depan masih belum membuat keputusan berhubung representasi Najib untuk menggugurkan kesnya membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta.

Faisal berkata demikian kepada pihak pemberita ketika acara flash mob di hadapan stesen LRT Masjid Jamek di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, tindakan peguam negara memberikan DNAA bukanlah perkara baru dan telah berlaku beberapa kali melibatkan ahli politik daripada kebanyakan parti-parti politik utama negara.

Sebelum ini, ketua peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa tiga pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya wajar diberikan DNAA kerana kes itu telah tergantung selama hampir enam tahun sejak 2018.

September lalu, pendakwa raya telah menggugurkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian membenarkan permohonan DNAA oleh timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Keputusan itu bagaimanapun dicabar dimahkamah.

Sementara itu, Terrirudin pada Isnin lalu berkata pendakwa raya tidak perlu memberikan alasan mengenai mengapa pertuduhan jenayah terhadap seseorang ditarik balik.

Seramai 60 peserta dari 30 badan bukan kerajaan (NGO) menyertai flash mob yang diadakan hari ini, termasuk Timbalan Pengerusi Bersih Wong Yan Ke dan Pengarah Eksekutif Empower Gopalan K Papachan.

Walaupun peserta demo mengangkat plakad sambil melaungkan "tolak rasuah", "tolak DNAA" dan "hidup rakyat", namun pengguna jalan raya dan orang ramai yang lalu lalang tidak ramai yang memberikan reaksi.

Lebih 20 pegawai polis dilihat mengawasi 'flash mob' tersebut, yang berlangsung selama kira-kira 30 minit.

Pisahkan kuasa AG, pendakwa raya

Faisal yang juga bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) turut menuntut pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya dilakukan segera.

Sehubungan itu, katanya, Bersih menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan garis masa pelaksanaan pemisahan bidang kuasa peguam negara dan pendakwa raya serta agenda-reformasi lain termasuk reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Pendanaan Politik.

Dia mengingatkan kerajaan bahawa rakyat sedang memerhati dan kepercayaan mereka kepada institusi awam bakal terhakis sekiranya pemberian DNAA kepada ahli politik terlibat kes rasuah diteruskan.

"Jangan ambil ringan gelombang kemarahan rakyat," katanya.

Dia menegaskan Bersih tidak akan teragak-agak untuk menganjurkan flash mob lebih besar pada masa terdekat jika kerajaan tidak memenuhi tuntutan mereka.

"Kita yakin dengan kerajaan perpaduan hari ini sedang memasuki fasa untuk menjadi kerajaan yang stabil.

"Bersih menyokong kestabilan politik, kerana bila adanya kestabilan politik, kita dapat memastikan reformasi lebih mudah untuk diadakan. Inilah waktu yang sesuai, dalam tempoh empat tahun.

"Tidak ada alasan untuk 'reformasi' ditolak ke tepi."