Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Anwar dan siri propaganda kerajaan jatuh

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Politik antara resipinya adalah persepsi. Dalam konteks politik moden, persepsi dikaitkan dengan propaganda. Bagi yang meyakini proganda sebagai strategi politik, kesilapan besar sudah terjadi kerana propaganda tidak semestinya menjadi kenyataan.

Dalam realiti politik Malaysia, Anwar Ibrahim mungkin di antara politikus yang diharapkan tidak lama menerajui kerajaan dengan pelbagai alasan yang diberikan oleh musuhnya.

Ada yang berani mendakwa kerajaan Madani pimpinan Anwar tumbang Januari ini walaupun alasannya sekadar propaganda.

Sekarang Januari semakin tiba ke penghujung. Orang yang mendakwa Anwar tumbang terpaksa mencari alasan baru semata-mata untuk menghiburkan pengikut mereka, selain memujuk hati sendiri.

Mampukah Anwar berdepan propaganda politik?

Peperangan pada zaman moden ini bukan hanya tentang senjata, strategi dan bom untuk mengalahkan lawan. Propaganda media sosial juga menjadi penting.

American Historical Association menyebutkan propaganda bertujuan untuk menurunkan keinginan musuh untuk melawan dan hal itu dilakukan melalui beberapa cara.

Antaranya ialah dengan menggambarkan keberhasilan pihak propagandis. Cara lain adalah dengan menggambarkan superioriti moral dari perjuangan musuh.

Ini adalah strategi satu pihak untuk mengintimidasi musuh dan memisahkan mereka daripada rakyat, dan menghancurkan perlawanan dengan memberikan bukti bahawa sebagian besar rakyat telah tertipu serta disesatkan.

Pertembungan ideologi

Hari ini bukan rahsia umum bahawa isu agama dan bangsa dipermainkan secara terbuka walaupun tanpa logik akal. Dalam konteks propaganda, logik kurang diperlukan kerana emosi yang menjadi keutamaan.

Anwar tentunya arif kerana pengalaman siasah selepas 1998 mengajar dia mengenal musuh yang sepatutnya. Peranan laskar siber dalam konteks moden perlu ditangani.

Dakwaan kerajaan membelakangi kepentingan Melayu dan Islam perlu dinoktahkan.

Marc Owen Jones, seorang Profesor Kajian Timur Tengah dan Humaniora Digital di Universiti Hamad bin Khalifa (Qatar), dalam sebuah artikel di Al Jazeera, menyatakan media utama dan media sosial penting dalam membentuk pendapat umum.

Salah satunya adalah dengan menggambarkan keberhasilan pihak propagandis. Ketika era Perang Dingin, propaganda media Barat terhadap Pakatan Warsaw - yang disebut Blok Timur - amat keterlaluan.

Persaingan bukan sahaja membabitkan dominasi pengintipan CIA dan KGB, malah percanggahan ideologi kapitalisme, sekularisme dan komunisme.

Dalam konteks Malaysia, golongan kanan dianggap murni dan suci kerana kononnya menegakkan sistem demokrasi raja berperlembagaan. Golongan komunis dan sosialis dianggap kiri dan antisosial, sekali gus musuh demokrasi.

Gerakan pelajar dekad 1970-an yang dikaitkan sebagai golongan kiri tidak terkecuali dianggap prokomunis. Anwar, Ibrahim Ali dan Hishamuddin Rais pernah dimomokkan ejen Soviet Union yang cuba menghasut gerakan pelajar di kampus.

Kemudian Anwar menyertai Umno pada 1982 dan imej dia dipulihkan sebagai pemimpin muda Islamik oleh propagandis tempatan.

Manipulasi pengikut

Dua penerima anugerah Nobel Keamanan 2021, Maria Ressa (Filipina) dan Dmitry Muratov (Rusia) mengakui propaganda politik yang dilancarkan penguasa memang bukan fenomena baru.

Pada era Nazi di Jerman, propaganda dilancarkan dengan sangat terancang melalui Kementerian Propaganda pimpinan Joseph Goebbels.

Pada era Soviet Union, kawalan pendapat umum menjadi agenda media rasmi kerajaan. Di Manila pada era Ferdinand Marcos pula, akhbar hanya melaporkan jasa pimpinan utama dan keramahan Wanita Pertama Filipina.

Propaganda politik masa kini sering dilancarkan lebih halus terutama dengan menggunakan jalur internet khususnya melalui platform media sosial. September lalu, YouTube misalnya menyekat dua saluran siaran berbahasa Jerman dari televisyen Rusia, RT (yang sebelumnya dikenal sebagai Russia Today).

Alasannya: RT menyebarkan informasi bohong tentang virus corona dan diidentifikasi sebagai "media propaganda pemerintah Rusia".

Keadaan itu membuktikan ada pihak menggunakan propaganda untuk memanipulasi fikiran, emosi, dan tindakan pengikutnya.

Ilmuwan politik dari Organisation for Propaganda Studies (OPS) yang bermarkas di London, Piers Robinson, mengatakan propaganda pada prinsipnya bermaksud memujuk seseorang untuk bertindak atau berperilaku dengan cara tertentu.

Dia memberi contoh ketika Rumah Putih berusaha mendapatkan simpati awam untuk melancarkan serangan ke atas Iraq pada 2003.

“Mereka melebih-lebihkan tentang senjata pemusnah massa untuk menampakkan Iraq sebagai ancaman yang jauh lebih besar daripada realiti," katanya. Pada hal tidak ada senjata pemusnah nuklear yang ditemukan.

Pensyarah Media Universiti Newcastle, Florian Zollmann, mengatakan perang Iraq adalah contoh bagaimana salah informasi dan berita palsu menjadi elemen propaganda politik.

AS dibingkaikan oleh George W Bush sebagai penyelamat.

“Dunia perlu bersama AS memerangi pengganas. Negara yang tidak menyokong adalah musuh perdamaian dan perlu diperangi,” pidato Bush yang menjadi pemangkin ketegangan terhadap Islam.

Propagandis Barat meletakkan Islam sebagai musuh kepada demokrasi dan sekularisme. Penentangan terhadap pengganas dikaitkan sebagai memerangi Islam.

Anwar suatu dahulu dianggap reformis Muslim. Hari ini kepemimpinannya sedang diuji. Sama ada kerajaan perpaduan bertahan sehingga habis penggal atau tidak, masih menjadi rahsia. Yang pasti propaganda sebahagian daripada percaturan dan alat peperangan zaman moden.


IMLAN ADABI ialah bekas wartawan Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.