Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tak benar Anwar guna pentas Ponggal hentam seteru politik'

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Persatuan Eksekutif India Selangor (Peis), rakan strategik penganjuran pesta Ponggal Kebangsaan 2024 hari ini menafikan dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempergunakan majlis itu sebagai platform untuk menghentam seteru politiknya.

Sebaliknya, Pengerusinya Dr Sathia Prakash Nadarajah (gambar bawah) berkata sebahagian ucapan Anwar di pentas itu mengenai prestasi setahun kerajaan madani kepada kaum India.

"Kita perlu faham, masyarakat India secara majoritinya menyokong Anwar pada PRU yang lalu.Salah satu sebab adalah janji pemimpin PH itu memerangi rasuah.

"Jadi, Anwar kini merupakan perdana menteri menggunakan platform pada hari itu untuk menjelaskan usaha dan susah payah kerajaan menyiasat individu-individu yang berpengaruh," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, ucapan Anwar menyentuh kesukaran kerajaan menjalankan siasatan terhadap golongan atasan termasuk individu yang bergelar Tun berhubung kecurian dana kerajaan hanya sebahagian daripada ucapan sepenuhnya.

"Saya minta pihak yang mendakwa Anwar menggunakan pentas itu untuk menghentam seteru politiknya perlu melihat keseluruhan ucapan itu.

"Dalam ucapan, dia ada menyentuh makna perayaan Ponggal, kebajikan dan kemiskinan masyarakat India di negara ini dan juga pendirian beliau terhadap pihak ekstremis yang cuba mengapi-apikan semangat perpaduan.

"Saya percaya, menyentuh politik semasa dalam ucapan satu perkara biasa dalam ucapan perdana menteri. Bekas perdana menteri Muhyiddin (Yassin) dan Ismail Sabri (Yaakob) juga pernah buat yang sama sebelum ini," katanya.

Terdahulu, ketua sayap bersekutu Bersatu Bangi, Vasantha Kumar Krishnan (gambar atas) mendakwa perdana menteri telah mempergunakan perayaan Ponggal kaum India sebagai pentas untuk melampiaskan nafsu serakah dendam peribadi.

Ini susulan kenyataan Anwar yang dilaporkan bercakap mengenai siasatan SPRM terhadap orang kenamaan termasuk 'Tun' semasa sambutan acara itu di Klang pada Sabtu lalu.

Pesta Ponggal itu anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Peis menjadi rakan strategik majlis itu yang dihadiri lebih 1,500 orang di Dataran Majlis Perbandaran Klang @ Padang Chetty di Klang, Sabtu lalu.

Peis merupakan NGO pro-PH yang terdiri daripada semua ketua cabang PKR Selangor yang berbangsa India. Menteri Besar Selangor Amirudin Shari merupakan penaungnya.

Sementara itu, Dr Sathia yang juga timbalan setiausaha agung PKR menyoal pendirian Bersatu berhubung kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang mempertikaikan kesetiaan masyarakat India di negara ini.

"Saya tidak nampak seorang pun pemimpin dari Bersatu buat kenyataan terhadap Mahathir. Adakah ini bermakna mereka sokong dengan pendirian bekas perdana menteri itu," soalnya.

Mahathir sebelum ini mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih 'terikat' dengan negara asal mereka.

Bercakap dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, Mahathir berkata seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak untuk menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

Selain Presiden Gerakan Dominic Lau, tiada pemimpin PN membuat kenyataan berhubung dakwaan tersebut.