K'jaan akan tubuh RCI kes Pulau Batu Puteh
Kerajaan memutuskan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian hal berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Ketua Setiausaha Negara merangkap setiausaha jemaah menteri Mohd Zuki Ali berkata ia diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini.
Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah tiga pulau kecil antara Johor dan Singapura, yang menjadi pertikaian antara dua negara.
Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura manakala Batuan Tengah milik Malaysia.
Hak milik Tubir Selatan pula kekal tidak jelas.
Malaysia memfailkan permohonan agar keputusan itu disemak pada 2017 namun kerajaan PH di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan itu setahun kemudian.
"Penubuhan RCI ini dibuat adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang mana cadangan keanggotaan RCI akan dibawa untuk perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan.
Mohd Zuki berkata, anggota yang bakal menganggotai RCI itu akan dilantik dalam kalangan pakar yang berpengalaman luas dalam bidang kehakiman, perundangan dan pentadbiran awam.
Baca: PANDUANKINI | Bagaimana Malaysia hilang kedaulatan Pulau Batu Puteh?
Walaupun tidak dinyatakan dalam kenyataan ini, senarai anggota RCI kemungkinan besar akan dibawa kepada Sultan Ibrahim Sultan Ibrahim, yang akan menjadi Yang di-Pertuan Agong mulai 31 Januari ini
Kedaulatan Pulau Batu Puteh sememangnya menjadi perhatian Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim sebelum ini beberapa kali mengkritik Dr Mahathir Mohamad atas keputusan kerajaan PH menarik balik permohonan semakan tersebut tanpa merujuk dengan Johor.
Pada November 2021, kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyemak semula tindakan dan isu perundangan berkenaan kes tiga pulau itu.
Pada Januari tahun lalu, peguam negara pada masa itu Idrus Harun berkata laporan pasukan petugas khas mendapati tindakan menarik balik permohonan di ICJ itu sebagai "tidak teratur dan tidak wajar".
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai