Skip to main
Logo Malaysiakini

Sistem pendidikan prasekolah akan diselaraskan bawah KPM

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Kerajaan memutusakan untuk menyelaraskan sistem pendidikan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan, menurut jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata jemaah menteri hari ini setuju berkenaan perkara itu bagi memastikan mutu pendidikan peringkat tadika.

"Dalam (mesyuarat) jemaah menteri hari ini, perdana menteri dan kabinet memutuskan sistem pendidikan tadika akan diselaraskan oleh KPM. Ini keputusan yang telah dibuat pada hari ini.

"Manakala ada beberapa aspek kurikulum, sebagai contoh (silibus) agama akan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"(Keputusan ini) untuk pastikan kualiti pendidikan dapat diselaraskan," katanya dalam sidang media hari ini.

Terdapat beberapa sistem pendidikan prasekolah yang berbeza di Malaysia.

Di sektor kerajaan, tiga kementerian - KPM, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Perpaduan Negara - mengendalikan tiga tadika berbeza, sementara beberapa jabatan agama Islam negeri juga ada tadika sendiri.

Selain itu, ada juga sistem yang ditawarkan entiti swasta, termasuk Pusat Asuhan Tunas Islam yang lebih dikenali sebagai Pasti oleh PAS.

Ketika ditanya jika penyelarasan itu juga akan melibatkan prasekolah swasta, Fahmi berpandangan ia akan dibuat secara "menyeluruh", berdasarkan perbincangan dalam mesyuarat hari ini.

Namun, dia berkata maklumat lanjut berkenaan langkah itu akan dinyatakan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang dijangka akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Membanteras jenayah dalam talian

Selain itu, Fahmi turut mengumumkan keputusan kabinet untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi menangani kelompongan undang-undang bagi melawan jenayah dalam talian.

Jawatankuasa itu akan melibatkan usaha bersama Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri.

"(Keputusan) ini berpandukan maklum balas diterima mengenai aktiviti jenayah dalam talian, sebagai contoh jualan dadah atau perjudian, atau aktiviti lain termasuk...baru-baru ini ada individu ditahan kerana edar video lucah dengan niat untuk mendapatkan bayaran," katanya.

Katanya lagi, jawatankuasa itu untuk menyemak peruntukan undang-undang sedia ada serta melihat kaedah negara lain menangani jenayah seumpamanya.

"Kita akan lihat undang-undang negara lain, yang mana aspeknya sesuai untuk manfaat Malaysia, untuk jamin keselamatan terutama kanak-kanak dalam melayari internet," katanya lagi.