Skip to main
Logo Malaysiakini

Perolehan kamera badan polis akan dimuktamad segera - Saifuddin

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Pelaksanaan tender bagi perolehan kamera badan untuk kegunaan pihak polis kini dalam peringkat akhir, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, dia telah mengarahkan pihak kementerian untuk menyegerakan perolehan kamera selepas proses tender terbuka yang dijalankan.

"Kita dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan keputusan perolehan, beberapa proses (tender) itu mengambil masa dan spesifikasi kamera ditukar beberapa kali.

"Saya telah pun memberi arahan yang jelas kepada jawatankuasa perolehan agar tidak berlengah lagi dan mempercepatkan keputusan setelah proses tender terbuka dijalankan dan kita harap perkara ini selesai dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, hari ini.

Pada 27 Okt lalu, Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa penggunaan kamera badan polis dijangka dilaksanakan sepenuhnya mulai 2025.

Dalam jawapan bertulis parlimen, Saifuddin berkata jangkaan itu berdasarkan garis masa kerajaan mendapatkan dan menguji peralatan itu, serta memberi latihan kepada anggota polis tentang cara menggunakannya.

Menurutnya, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta pada 2021 untuk polis mendapatkan kamera badan, yang akan digunakan oleh pegawai dalam tugas harian mereka.

"Pada masa ini, proses perolehan sedang dilaksanakan oleh Kementerian. Lembaga Perolehan KDN dijangka bersidang dalam bulan November 2023 dan Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada bulan Disember 2023.

"Jangkaan BWC (kamera badan) akan digunakan sepenuhnya oleh PDRM adalah pada suku pertama tahun 2025 dengan mengambil kira keseluruhan proses pembekalan seperti pengujian, lawatan tapak, latihan dan pentauliahan yang akan berlangsung dari Januari 2024 hingga Disember 2024," katanya.

Sebelum ini, tular beberapa kes salah laku melibatkan anggota polis, antaranya kes jenayah seperti rogol dan kes langgar sehingga mati telah dilaporkan media.

Gesaan turut dibuat Kumpulan hak asasi Warga Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) yang mahu anggota polis dilengkapi dengan kamera badan dalam tempoh tiga bulan akan datang, bermula tahun ini.

Jurucakap Madpet Charles Hector (gambar bawah) berkata sudah lebih setahun sejak belanjawan diluluskan yang menetapkan peruntukan untuk polis memperoleh kamera badan namun masih terdapat pembunuhan di luar undang-undang oleh polis.

“Madpet menyeru agar semua anggota polis memakai kamera badan dalam tempoh tiga bulan, dan kamera litar tertutup (CCTV) dengan kapasiti rakaman diletakkan di semua kawasan balai polis.

“Ini bagi memastikan pemantauan berterusan terhadap suspek yang ditahan, supaya polis tidak melanggar undang-undang dan hak suspek dilindungi,” katanya.