Skip to main
Logo Malaysiakini

Hanipa harap kerajaan tak 'ganggu' Pasti

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Bekas timbalan menteri Mohamed Hanipa Maidin berharap tadika milik PAS tidak terjejas dengan usaha kerajaan memperkemas sistem pendidikan prasekolah.

Walaupun ragu terhadap parti yang ditinggalkannya pada 2015 itu, Hanipa berkata Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang ditubuhkan itu mencapai kejayaan besar.

“Putrajaya memutuskan untuk memperkemas sistem pendidikan prasekolah. Saya harap kerajaan Madani tidak akan ‘mengganggu’ Pasti yang dikendalikan oleh PAS.

“Saya mungkin mempunyai keraguan terhadap PAS, tetapi Pasti sangat berjaya,” jelasnya dalam hantaran di Facebook, hari ni.

Ketika dihubungi Malaysiakini, bekas ahli parlimen Sepang itu berkata, pemimpin Amanah dalam kerajaan juga sepatutnya boleh bercakap mengenai kejayaan Pasti.

Untuk rekod PAS berpecah pada 2015 apabila sekumpulan pemimpin progresif meninggalkan parti itu dan menubuhkan Amanah yang dipimpin Mohamad Sabu sebagai presiden.

Hanipa berkata, dia sendiri menghantar anak-anaknya ke Pasti untuk mendapat pendidikan prasekolah.

Dakwanya, Pasti dikendalikan tenaga pengajar profesional termasuk mereka yang mempunyai ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang pendidikan prasekolah.

“Adakah anda sedar bahawa ibu bapa bukan Islam juga tidak keberatan menghantar anak mereka ke Pasti?” soalnya.

Semalam Malaysiakini melaporkan kerajaan memutuskan untuk menyelaraskan sistem pendidikan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata jemaah menteri semalam setuju berkenaan perkara itu bagi memastikan mutu pendidikan peringkat tadika.

"Dalam (mesyuarat) jemaah menteri semalam, perdana menteri dan kabinet memutuskan sistem pendidikan prasekolah akan diselaraskan oleh KPM.

"Ada beberapa aspek kurikulum, sebagai contoh (silibus) agama di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Untuk rekod terdapat beberapa sistem pendidikan prasekolah yang berbeza di Malaysia.

Di sektor kerajaan, tiga kementerian - KPM, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Perpaduan Negara - mengendalikan tiga tadika berbeza, sementara beberapa jabatan agama Islam negeri juga ada tadika sendiri.

Sementara itu Hanipa turut mendakwa Umno sebelum ini membuat banyak rancangan untuk menamatkan Pasti, sesuatu yang disedarinya sebagai penasihat undang-undang Pasti sebelum ini.

“Pada suatu ketika seorang aktivis PAS yang menguruskan Pasti di Melaka didakwa di mahkamah. Saya mewakilinya di mahkamah.

"Kami mencabar kesesuaian enakmen dan kes telah sampai ke Mahkamah Persekutuan tetapi anak guam saya meninggal dunia sebelum perbicaraan di Mahkamah Persekutuan dimulakan," katanya.

Hanipa seterusnya memberi amaran kepada kerajaan terhadap percubaan untuk mempolitikkan sektor pendidikan, dengan menegaskan sebarang tindakan yang dibuat oleh kerajaan Madani terhadap Pasti akan dilihat bermotifkan politik.