Skip to main
Logo Malaysiakini

Tarif air: Pengguna Kelantan harap tingkat mutu perkhidmatan, kualiti air

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Kenaikan tarif air membabit pengguna di negeri Kelantan rata-rata disambut baik penduduk di negeri itu yang ditemui Malaysiakini.

Namun besar harapan mereka untuk melihat agar mutu perkhidmatan syarikat operator induk iaitu Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) ditambah baik sekali gus menyediakan bekalan air berkualiti.

Seorang usahawan Saliha Abdul Kadir, 56 (gambar bawah) berkata, sebagai pengguna dia berharap dengan kenaikan tarif air dapat memberi ruang kepada pihak berwajib untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

"Sebagai pengguna kita memahami kenaikan tarif, tetapi saya berharap biarlah ia sepadan dengan perkhidmatan dan kualiti bekalan air.

"Saya harap selepas ini tiada lagi isu ketiadaan bekalan air yang berulang secara berpanjangan, atau isu kualiti air yang teruk," katanya ketika ditemui Malaysiakini, di Kota Bharu semalam.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Arif, 46 pula berkata dia mempunyai dua pandangan susulan kenaikan tarif air yang diumumkan baru-baru ini.

Katanya, dia tidak bersetuju dengan kenaikan tersebut sekiranya tidak ada sebarang perubahan di peringkat pihak yang mengendalikan bekalan air.

"Tetapi saya bersetuju dengan kenaikan itu sekiranya ia membawa perubahan positif yang memberi jaminan kepada pengguna bahawa tiada lagi masalah-masalah sama yang berulang.

"Pihak yang bertanggungjawab perlu menyelesaikan isu-isu yang berlarutan seperti bekalan terputus tanpa notis dan isu bekalan air tercemar," katanya.

Terdahulu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan pelarasan tarif air itu tidak lagi boleh ditangguhkan, supaya tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka panjang sekali gus memberikan impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan yang dinikmati rakyat.

Pelarasan itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu manakala di Kelantan tarif air baru meningkat 23 sen bagi setiap satu meter padu bagi pengguna domestik berkuat kuasa 1 Februari depan.

Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud (gambar bawah) bagaimanapun berkata kenaikan itu dilihat tidak akan membebankan pengguna.

Malah tegasnya, kerajaan negeri turut memberi jaminan perkhidmatan bekalan air yang lebih berkualiti kepada pengguna berikutan pelarasan tarif air itu.

Sementara itu seorang penjawat awam, Nur Fasihah Fauzi, 27 berkata, penduduk Kelantan sebelum ini sering berdepan dengan masalah bekalan yang berlarutan sejak sekian lama.

Justeru katanya, susulan kenaikan tarif baru yang dikenakan diharap pihak AKSB mengatasi masalah-masalah berkaitan dengan tuntas.

“Sebagai pengguna sudah pasti kita mahukan perkhidmatan lebih baik, pengguna tak terjejas dengan kenaikan tarif kecuali mungkin golongan berpendapatan rendah.

Penjawat awam, Nur Fasihah Fauzi.

“Namun AKSB perlu selesaikan isu-isu berbangkit yang selama ini membelenggu pengguna, termasuk ketiadaan bekalan air pada hari perayaan.

“Di rumah saya sendiri menghadapi masalah bekalan air sehingga terpaksa menggunakan air boring untuk dapatkan bekalan air,” katanya.