Skip to main
Logo Malaysiakini

Saksi: Najib, pengurusan 1MDB tak lapor penyelewengan dana

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Pegawai penyiasat SPRM mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak mahupun pengurusan 1MDB tidak membuat aduan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat penyelewengan dana syarikat itu sejak 2009.

Nur Aida Arifin berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB bernilai RM2.27 bilion terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Saksi ke-49 pendakwaan itu membacakan bahagian akhir pernyataan bertulisnya, susulan pindaan oleh pihak pendakwaan selepas pasukan pembelaan membuat bantahan dengan menyatakan keterangannya penuh dengan cakap dengar dan pandangan.

"Dana 1MDB telah diselewengkan sejak 2009. Namun, tiada tindakan diambil terhadap (ahli perniagaan dalam pelarian) Jho Low atau mana-mana pihak.

"Tiada aduan dibuat oleh Najib atau pengurusan 1MDB terhadap mana-mana pihak berkuasa, iaitu SPRM dan polis, untuk menyiasat penyelewengan itu.

"Najib tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota pengurusan 1MDB untuk menjauhkan diri daripada Jho Low," katanya.

Najib merupakan bekas pengerusi lembaga penasihat 1MDB, yang merupakan milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bercuti dengan kapal layar

Nur Aida turut membangkitkan Jho Low menyertai keluarga Najib dalam tiga percutian kapal layar antara 2009 dan 2013.

Dia mendakwa pada 2009, mereka berlayar dengan kapal EM Elegance di perairan selatan Perancis, di mana Low dikatakan mengaturkan pertemuan dengan dua wakil Petrosaudi International (PSI) bernama "Putera Turki" dan "Tarek Obaid".

Pada 2010 pula, dakwanya lagi, mereka berlayar dengan kapal Golden Odyssey di perairan Greece dan Italy yang diaturkan Jho Low.

Dia mendakwa satu lagi percutian melibatkan kapal Topaz di perairan selatan Perancis pada 2013, yang turut melibatkan Putera Emiriah Arab Bersatu (UAE) "Sheikh Mansor" dan Mohamed Badawy Al-Husseiny.

Dia mendakwa percutian ketiga itu turut diaturkan Jho Low dan Tan Kim Loong yang didakwa sebagai sekutunya.

Nur Aida juga mendakwa pada Julai 2015, Najib meminta gabenor Bank Negara ketika itu, Zeti Akhtar Aziz untuk mengeluarkan kenyataan bahawa kemasukan wang ke dalam akaunnya bukan satu kesalahan, namun permintaan itu ditolak.

Kemudian pada 27 Julai tahun yang sama, katanya, Najib pasukan petugas khas rentas agensi yang menyiasat dakwaan aliran dana 1MDB ke akaunnya dibubarkan.

"Antara 5 Jan 2016 dan 29 Julai 2016, Najib selaku perdana menteri telah mengambil beberapa tindakan yang memberi kesan kepada siasatan," katanya.

Katanya lagi, pada 28 Ogos 2018 dia menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara dengan cadangan agar Najib didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan pada 19 September, peguam negara memberi kebenaran untuk mendakwa Najib.

Prosiding di hadapan Hakim Sequerah disambung semula pada Isnin minggu depan.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB, sebuah syarikat pelaburan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

[Baca berita asal]