Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan lebih 100 warga asing di Pasar Harian Selayang

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Seramai 108 warga asing termasuk empat wanita ditahan atas pelbagai kesalahan dalam satu serbuan Operasi Khas Op Taring II di Pasar Harian Selayang, di Kuala Lumpur, awal pagi ini.

Kesemua mereka yang ditahan pada kira-kira 3 pagi itu terdiri daripada 50 lelaki dan dua wanita Indonesia, 33 lelaki dan dua wanita Myanmar, 12 lelaki warga India, tujuh lelaki Bangladesh serta seorang lelaki, masing-masing warga Nepal dan Pakistan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata operasi itu bertujuan bagi membanteras pelbagai jenayah yang berlaku di kawasan sekitar Pasar Harian Selayang terutama melibatkan pendatang tanpa izin.

Selain itu, beliau berkata operasi itu turut memfokuskan kepada membanteras sebarang kegiatan tidak sihat di kawasan tersebut.

“Semua warga asing yang ditahan diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia di bawah Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan menetap lebih masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak polis bersama-sama jabatan dan agensi penguatkuasaan lain akan terus menjalankan operasi khas seperti ini pada masa akan datang bagi membanteras jenayah.

“Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan yang mencurigakan atau kehadiran pendatang tanpa izin di kawasan masing-masing kepada pihak polis. Pihak polis akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan dan ketenteraman negara,” katanya.