Skip to main
Logo Malaysiakini

Platform kebajikan haiwan cari tempat tinggal untuk haiwan terbiar

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Terserempak secara kebetulan dengan anak anjing jalanan mendorong usahawan teknologi, Andy Koh mewujudkan PetFinder.my, sebuah platform kebajikan haiwan yang terkemuka di Malaysia pada 2008.

Menerusi platform ini, Koh dan pencinta haiwan lain berkongsi matlamat dalam memperjuangkan kebajikan haiwan, memberikan kasih sayang dan penjagaan yang sewajarnya kepada makhluk tuhan ini.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini, Koh berkata idea untuk mencipta PetFinder.my timbul apabila dia menyelamatkan seekor anak anjing jalanan.

“Tiada platform yang sesuai untuk mencari rumah untuk haiwan jalanan, jadi saya iklankan dalam surat khabar untuk mencari keluarga angkat.

"Saya sangat terkejut dengan maklum balas yang diberikan, dan hal itu mencetuskan idea untuk mewujudkan platform digital yang boleh menyatukan dan memperkasakan tempat perlindungan haiwan dan penyelamat," jelasnya.

Pada masa ini terdapat lebih 200,000 haiwan yang dipaparkan di platform itu, dengan 71,000 sudah dipelihara dan 26,000 masih menunggu mana-mana individu untuk mengambil mereka sebagai haiwan peliharaan.

Koh, 43, mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam e-dagang dan teknologi Internet.

Sebagai seorang pencinta anjing, Koh menggesa hukuman lebih keras ke atas kekejaman terhadap haiwan dan mendidik orang ramai untuk menjaga haiwan peliharaan mereka dengan betul.

Penggunaan AI

PetFinder.my juga membangunkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang bekerjasama dengan organisasi bukan berasaskan keuntungan global untuk menjaga kebajikan haiwan dan usaha memulihara alam sekitar di seluruh dunia.

Platform KindMeal.my, yang menggalakkan gaya hidup tanpa memakan daging dibangunkan oleh mereka untuk mengatasi kekejaman terhadap haiwan ternakan.

Koh menjelaskan haiwan yang dipaparkan di PetFinder.my diselamatkan dan dipelihara secara langsung oleh penyelamat dan pusat perlindungan.

"Kebanyakan mereka ialah penyelamat bebas - orang-orang yang berjiwa besar yang terserempak dengan haiwan jalanan atau yang cedera, merawat haiwan-haiwan ini agar kembali pulih di rumah mereka sendiri dan mencari keluarga penyayang untuk mengambil haiwan ini," jelas Koh.

Dia mengakui pada mulanya sukar meyakinkan orang ramai untuk menjadikan haiwan jalanan sebagai haiwan peliharaan berbanding membeli anak kucing atau anak anjing daripada kedai haiwan.

“Mujur ia jadi lebih mudah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, berkat kerjasama meluas media, organisasi, dan orang ramai.

“Orang ramai kini lebih peka dengan nasib haiwan yang tiada tempat tinggal dan manfaat menjadikan mereka haiwan peliharaan. Menjadikan haiwan sebagai haiwan peliharaan juga lebih mudah sekarang,” jelas Koh.

[Baca berita penuh]