Skip to main
Logo Malaysiakini

'Test of A King' kisah kebijaksanaan Sultan Abdullah kemudi negara

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melancarkan e-buku bertajuk Test of A King di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Acara ringkas yang berlangsung di Singgahsana Kecil itu menyaksikan Seri Paduka berkenan mengimbas Kod QR bagi membolehkan buku 66 muka surat tersebut dibaca melalui gajet telefon.

Buku itu berkisar tentang kebijaksanaan dan dedikasi baginda dalam mengharungi serta mengemudi negara melalui pelbagai cabaran selain ketidaktentuan politik.

Buku nukilan Penasihat Undang-Undang Yang di-Pertuan Agong Datuk Abdul Rahman Putra Taha dan Penolong Pegawai Undang-Undang Istana Negara Zulharry Abdul Rashid itu turut mempamerkan koleksi penulisan tiga pakar perundangan negara.

Antaranya bab satu bertajuk The Constitutional Position of His Majesty The Yang di-Pertuan Agong oleh pakar perlembagaan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Bab dua yang bertajuk The King Who Calmed The Storm Through The Rule of Law pula dihasilkan oleh bekas Presiden Badan Peguam Malaysia (2011-2013) Datuk Lim Chee Wee.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif pula menghasilkan bab tiga bertajuk Appointment of PM8 to PMX.

Abdul Rahman berkata pihaknya mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk menyiapkan e-buku itu dan bercadang menerbitkan buku bercetak selepas ini.

E-buku itu boleh diakses secara percuma di pautan https://drive.google.com/file/d/1mbAfAdIXzRylqciJ1qiHeLSyaLxmRPpi/view?usp=drivesdk

- Bernama