Kanak-kanak maut tertinggal dalam kereta
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta di parkir berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada seorang pegawai perubatan hospital itu pada 8.01 malam hari yang sama.
“Semasa ditinggalkan mangsa dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu kanak-kanak itu berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital hanya menyedari kejadian terbabit selepas dihubungi suaminya pada 6 petang.
“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bedah siasat sudah dijalankan pada 2 petang semalam dan punca kematian belum diperoleh kerana masih menunggu analisis makmal.
Mohd Iqbal berkata hasil siasatan mendapati mangsa ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam kereta selepas diambil dari sebuah taska berdekatan sekitar 2 petang.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid di talian 013-6544996.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai