Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersih: Jangan tunjuk ada 'jalan pintas' bagi ahli politik yang disabit bersalah

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengkritik keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, dengan menyifatkan ia akan memberi kesan besar kepada kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Bersih berkata walaupun Lembaga Pengampunan ada hak di sisi Perlembagaan untuk membuat keputusan, negara tidak boleh memberi isyarat yang pemimpin politik boleh "bebas dari hukuman”.

"Mengapakah kes Najib diberikan keutamaan untuk dipertimbangkan sedangkan hari ini masih ramai mereka yang dipenjara, khususnya dari kalangan rakyat, yang masih menunggu peluang untuk mendapatkan ruang pengampunan?

"Negara tidak boleh memberi isyarat bahawa pemimpin politik yang melakukan kesalahan dan disabitkan bersalah boleh mengambil jalan pintas untuk bebas dari hukuman, seolah-olah ada undang-undang dua darjat untuk orang biasa dan orang atasan," kata Bersih dalam kenyataan hari ini.

Semalam Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengesahkan tempoh pemenjaraan Najib dipendekkan dari 12 tahun kepada enam tahun. Denda yang ditetapkan mahkamah sebelum ini - RM210 juta - juga dikurangkan menjadi RM50 juta.

Ini bermakna Najib akan dibebaskan daripada penjara pada 23 Ogos 2028.


Baca: Kenyataan penuh Lembaga Pengampunan


Mengulas lanjut, Bersih berkata keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2022 untuk mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib jelas menunjukkan dia telah "merompak wang negara".

"Kami tidak melihat kewajaran untuk mengurangkan hukuman penjara mahupun denda yang disabitkan.

"Justeru, Lembaga Pengampunan wajib menjelaskan alasan-alasan pengurangan hukuman kerana kesalahan beliau melibatkan penyelewengan wang negara yang berjumlah jutaan ringgit," kata Bersih lagi.

Gabungan itu turut membangkitkan petisyen yang dilancarkannya pada 2022, di mana 55,189 tandatangan dikumpul agar Najib tidak diberi pengampunan.

"(Ia) mencerminkan sentimen rakyat yang sangat kuat untuk menolak pembebasan Najib atau mana-mana pemimpin politik yang disabitkan kesalahan rasuah dan pecah amanah," katanya lagi.

Bersih juga mengulang gesaannya agar keputusan dilepas tanpa dibebaskan, atau DNAA, berkaitan kes rasuah yang sedang dibicarakan khususnya melibatkan ahli politik, dihentikan sementara undang-undang dipinda bagi memisahkan bidang kuasa peguam negara dan pendakwa raya.

‘Rakyat berhak dapat penjelasan’

Sementara itu, CSO Platform for Reform turut mendesak Lembaga Pengampunan menjelaskan sebab di sebalik keputusan untuk mengurangkan hukuman Najib.

Gabungan NGO itu berkata, ia telah menghakis keyakinan rakyat terhadap cara kerajaan mengendalikan skandal rasuah.

"Hak ini (untuk mendapatkan penjelasan) jelas termaktub dalam Perlembagaan Malaysia di bawah Perkara 42(9) yang mewajibkan pendedahan sebarang pendapat bertulis yang dikemukakan oleh Peguam Negara kepada Yang-Di-Pertuan Agong.

"...Ia bukan sahaja (tentang) menyoal ketelusan tetapi juga aspek kritikal dalam menegakkan akauntabiliti dalam proses perundangan.

"Perkara 42(9) menggambarkan pengiktirafan perundangan terhadap hak orang ramai untuk mengakses butiran berkaitan prosiding pengampunan secara tidak langsung menambah keyakinan orang ramai terhadap Lembaga Pengampunan," katanya dalam kenyataan.

Menurut gabungan NGO itu lagi, Lembaga Pengampunan perlu berfungsi sebagai asas dalam mengekalkan kepercayaan orang ramai terhadap mekanisme pengampunan yang

termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.