Skip to main
Logo Malaysiakini

Hukuman Najib: K'jaan cuba puaskan hati semua pihak tapi gagal - Zaid

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim ada banyak "persoalan tidak dijawab" berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Zaid berkata, maka keputusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati semua pihak.

"Keputusan lembaga tidak memuaskan kedua-dua pihak - bagi pihak yang mahu Najib kekal dipenjara 12 tahun dan bagi kami, termasuk saya, yang rasa dia wajar mendapat pengampunan penuh.

"Kerajaan cuba nak puas hatikan kedua-dua pihak. Inilah masalahnya," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengesahkan tempoh pemenjaraan Najib dipendekkan dari 12 tahun kepada enam tahun. Denda yang ditetapkan mahkamah sebelum ini - RM210 juta - juga dikurangkan menjadi RM50 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mewakili kerajaan dalam lembaga tersebut, yang turut dianggotai Peguam Negara Ahmad Terrirudin dan tiga lagi ahli yang dilantik Yang di-Pertuan Agong.

'Sepatutnya ya atau tidak'

Mengulas lanjut, Zaid yang juga peguam veteran berpandangan keputusan harus dibuat berdasarkan permohonan asal Najib iaitu untuk pengampunan diraja, yang difailkan pada September 2022.

"Kalau Najib pohon pengampunan penuh, jawapannya sepatutnya 'yes or no'

"Kalau dia minta kurangkan (hukuman), pastilah boleh juga (dipertimbang)," katanya.

Zaid juga menggesa kerajaan untuk menjelaskan apa yang berlaku dalam proses keputusan itu dibuat, termasuk pendirian yang diambil oleh Umno dan parti lain dalam kerajaan.

"Perdana menteri kata hormat proses. Bagaimana kita nak hormat jika tak tahu apa yang berlaku? Jadi saya cadang kepada perdana menteri, beritahu kami apa prosesnya.

"Menteri (Dr Zaliha) ia keputusan kolektif...tapi apa pendirian kerajaan? Apa pendirian Umno?

"Anda boleh kata ia keputusan kolektif tapi tak boleh bersembunyi di belakangnya," katanya lagi.

Terdahulu hari ini, CSO Platform for Reform turut menggesa penjelasan diberikan, dengan menyatakan Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan menunjukkan orang ramai berhak untuk mengakses butiran berkaitan prosiding pengampunan.