Skip to main
Logo Malaysiakini

Asyraf: Sindiran Pua tak jejas hubungan parti dalam k'jaan

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Setiausaha Agung Umno Dr Asyraf Wajdi berkata kenyataan bernada sindiran bekas ahli parlimen DAP Tony Pua berhubung pengurangan hukuman Najib Razak tidak akan menjejaskan hubungan antara Umno dengan parti dalam kerajaan.

Menurut Asyraf, kenyataan Pua bersifat peribadi dan tidak mewakili DAP mahupun kerajaan secara keseluruhan.

Pada masa sama, dia berkata Pemuda Umno akan tetap membuat laporan polis terhadap Pua berhubung kenyataan tersebut.

"Dia bukannya mewakili kerajaan tetapi yang paling penting kita akan meneruskan laporan polis terhadapnya," katanya ketika ditemui selepas pertemuan tertutup Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan akar umbi di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Pua memperli pengurangan hukuman Najib, antaranya dengan menyatakan rasa "keterujaan" terhadap pengurangan hukuman penjara dan denda.

“Najib yang dikasihi, saya sangat teruja untuk mendengar 50 peratus hukuman anda diringankan ke tahun 2028 dan pengurangan denda sebanyak 74 peratus daripada RM210 juta," katanya.

Dia juga dengan sinis berkata dia cukup bersemangat untuk melihat Najib "mendapat diskaun yang lebih besar dalam hukumannya" jika yang bekas perdana menteri itu menunjukkan "kelakuan yang baik".

Susulan itu, Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan kenyataan itu sebagai "biadab" kerana mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini dan akan membuat laporan polis terhadap Pua.

Mengulas lanjut, Asyraf turut memberi peringatan kepada Pua bahawa kenyataan itu secara tidak langsung mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong.

"Dia kena ingat, kenyataan itu mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong.

"Itu (sindiran) suatu perkata yang amat tidak baik, bahkan boleh dianggap sebagai satu bentuk hasutan yang menimbulkan persepsi negatif terhadap Yang di-Pertuan Agong," katanya lagi.