Skip to main
Logo Malaysiakini

10 polis disiasat selepas RM3,753 ditemui ketika sekatan jalan

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Sepuluh anggota polis termasuk seorang berpangkat sarjan dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya disiasat susulan penemuan wang tunai berjumlah RM3,753 dalam beg dan kereta mereka semasa menjalankan sekatan jalan Op Alkohol awal pagi semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata wang tunai berkenaan ditemui selepas pemeriksaan mengejut yang dijalankan pegawai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman pada 2.30 pagi.

“Pemeriksaan menemukan wang tunai berjumlah RM3,313 pada seorang daripada anggota berpangkat sarjan dan RM440 dalam kereta mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.

Hussein berkata satu kertas siasatan tatatertib dibuka ekoran pemeriksaan dan laporan berkenaan bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang perbuatan rasuah atau pelanggaran prosedur trafik.

“Semua anggota yang terlibat juga telah dikeluarkan daripada bahagian penguatkuasaan trafik hingga siasatan selesai,” katanya.

-Bernama