Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis 'lambat' bertindak perintah tangkap bekas suami Indira

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador mengakui Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil masa terlalu lama untuk mengambil tindakan terhadap perintah mandamus yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh dalam kes penculikan anak perempuan M Indira Gandhi.

Ketika disoal oleh peguam Indira Sachpreetraj Singh Sohanpal, Hamid bersetuju tempoh lapan bulan antara arahan kepada semua ketua polis di semua negeri untuk menangkap bekas suami Indira Muhammad Riduan Abdullah dan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh adalah sangat lama.

“Berdasarkan pengalaman anda sebagai bekas KPN, adakah anda bersetuju atau tidak bersetuju bahawa mengambil masa lapan bulan untuk mengeluarkan arahan ini adalah terlalu perlahan?” tanya Sachpreetraj.

"Setuju, (ia) lambat," jawab Abdul Hamid.

Penasihat undang-undang Indira berhujah bahawa penangguhan itu membolehkan Riduan, yang dinamakan K Pathmanathan sebelum memeluk Islam, meninggalkan negara.

Abdul Hamid memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman Indira seorang guru tadika terhadap ketua polis negara dan tiga yang lain kerana gagal menangkap bekas suami yang memeluk Islam dan melarikan anak perempuan mereka.

Menurut tuntutan mahkamah yang dibuat Indira, KPN didakwa gagal mematuhi dua perintah Mahkamah Tinggi Ipoh yang dikeluarkan pada 30 Mei 2014.

Perintah pertama ialah perintah komital supaya Riduan dipenjarakan kerana gagal mengembalikan Prasana kepada Indira. Yang kedua ialah perintah pemulihan untuk Polis Diraja Malaysia dan bailif mahkamah untuk mengambil Prasana daripada Riduan dan mengembalikan kanak-kanak itu kepada Indira.

Dalam perbicaraan hari ini, Hamid menjawab setuju apabila ditanya sekiranya arahan itu sepatutnya dikeluarkan beberapa hari selepas keputusan mahkamah Ipoh.

Dia juga bersetuju bahawa tempoh dua tahun yang diambil untuk meletakkan nama Riduan dalam senarai orang dikehendaki juga terlalu lama.

Bagaimanapun, ketika ditanya sekiranya polis sepatutnya menumpukan lebih banyak usaha dalam siasatan tersebut, Hamid menjawab tidak setuju.

[Baca berita penuh]