Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Perlu bezakan spa, urut, refleksologi dengan yang jalankan aktiviti haram’

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Cadangan kerajaan untuk mengkaji keperluan membekukan permohonan lesen perniagaan spa, refleksologi dan urut di Kuala Lumpur akan mengeruhkan lagi persepsi negatif terhadap industri itu, kata pengusaha perniagaan tersebut.

Sebaliknya, kerajaan dicadangkan untuk memperkemaskan lagi garis panduan permohonan lesen dan penguatkuasaan yang lebih ketat dalam mengawal perniagaan yang disifatkan berisiko tinggi dan sensitif.

Presiden Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) Hana Halim (gambar bawah) berkata pemain industri itu mengalu-alukan sekiranya kerajaan sedia memperkemaskan garis panduan permohonan lesen perniagaan spa, refleksologi dan urut.

"Adalah keperluan mendesak untuk membezakan pengendali spa, urut dan refleksologi yang sah daripada mereka yang menjalankan aktiviti haram.

"Bagi kami kerajaan tidak perlu kaji untuk membekukan permohonan baru.

"Sebaliknya, kami mengalu-alukan sekiranya terdapat penguatkuasaan yang lebih ketat dan kelulusan lesen dengan syarat yang lebih khusus syarat daripada kerajaan tempatan untuk membersihkan sebarang persepsi yang tidak diingini," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, buat masa ini tidak ada garis panduan yang standard.

"Setiap PBT (pihak berkuasa tempatan) mempunyai garis panduan berbeza. Di Pulau Pinang lain, di Kuala Lumpur dan Johor pula lain.

"Kalau nak katakan lebih tepat, kelulusan permohonan baru lebih kepada budi bicara pegawai yang mengendalikan permohonan itu.

"Kami berasa ini yang membawa kepada lambakan perniagaan yang tidak sah atau mempunyai unsur mencurigakan. Kalau boleh buat garis panduan secara hitam putih," katanya.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang berkata kementeriannya akan mengkaji keperluan untuk membekukan permohonan lesen perniagaan spa, refleksologi dan urut di Kuala Lumpur.

Zaliha sebelum ini berkata, kementeriannya sedia untuk membekuan permohonan lesen bagi perniagaan yang disebutkan di atas jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, jelas Zaliha (gambar atas) agensi berkaitan perlu menyediakan data berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Terdahulu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membekukan semua permohonan lesen baru perniagaan spa, refleksologi dan urutan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, berkuatkuasa 1 Feb.

Datuk Bandar MBJB Mohd Noorazam Osman berkata keputusan itu diambil antaranya bagi mengawal lambakan perniagaan yang disifatkan berisiko tinggi dan sensitif itu dijalankan tanpa unsur mencurigakan.

Senarai hitam pemilik premis

Sementara itu, Hana berkata kerajaan perlu memastikan penguatkuasan yang lebih ketat untuk mengelakkan industri ini disalahkangunakan oleh segelintir orang sebagai sarang pelacuran.

"Kami sebagai pemain industri dan pihak berkepentingan sedia bekerjasama dengan pihak penguatkuasan untuk memperkemaskan lagi industri ini.

"Jika, ada premis yang salahgunakan lesen, tahan mereka dan memberi hukuman yang lebih berat.

“Kalau boleh senarai hitam nama pemilik premis itu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas naib presiden Malaysian Association of Wellness and Spa (Mawspa) Gavin Foo (gambar atas) berkata pembekuan permohonan lesen baru tidak akan menyelesaikan isu ini.

"Kami kecewa dengan tindakan-tindakan sebegini. Adakah pembekuan akan menyelesaikan isu ini? Sudah tentu tidak.

"Sebagai contoh, di Johor, MBJB kata mereka membekukan permohonan baru kerana terdapat unsur mencurigakan.

"Jika ada unsur mencurigakan, itu adalah tugas pihak penguatkuasa untuk membuat pemantauan.

"Bukan terus membekukan permohonan baru di mana pembekuan itu akan membawa kepada pembukaan lebih banyak premis tidak berlesen," katanya.

Hana dan Gavin berpendapat langkah membekukan permohonan baru hanya jalan pintas yang tidak akan menyelesaikan isu sebenarnya.

"Spa dan urut kini menjadi sebahagian kehidupan harian rakyat Malaysia. Ia juga menjana pendapatan yang besar kepada sektor pelancongan di negara ini.

"Kerajaan sepatutnya mengalakkan lebih ramai pengusaha menceburi sektor ini. Tak perlu menghukum semua pengusaha atas kesalahan pihak lain.

"Pihak penguatkuasa dan kerajaan perlu tahu perbezaan antara pengusaha yang sah dan pihak yang salah guna," kata mereka.

Untuk rekod, SPA dan pusat refleksologi menyumbang kira-kira 15 peratus kepada jumlah pendapatan RM84 bilion dalam sektor pelancongan pada tahun 2019, bersamaan dengan RM7 bilion.