Skip to main
Logo Malaysiakini

PH akan tanggung akibatnya pada PRU16, kata penulis buku 1MDB

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

PH akan menanggung akibat daripada pengurangan hukuman penjara dan denda bekas perdana menteri Najib Razak pada PRU akan datang, menurut seorang penganalisis bebas.

Penulis buku berkenaan skandal 1MDB, P Gunasegaram berpandangan isu tersebut akan menjejaskan sokongan terhadap PH yang akhirnya akan memberi manfaat kepada seterunya, iaitu PAS.

P Gunasegaram

"Saya fikir akan ada harga yang perlu dibayar pada PRU16 nanti.

"PH sangat dirasakan membisu (berhubung keputusan Lembaga Pengampunan), kecuali mereka yang tidak berada dalam kerajaan yang mengeluarkan kenyataan, seperti Ramkarpal Singh dan Tony Pua daripada DAP, serta Hassan (Karim) daripada PKR.

"Tetapi, pada akhirnya siapa yang akan mendapat manfaat daripada semua ini? Jika mengambil kira status quo sekarang, pihak itu adalah PAS, yang meraih sokongan besar pada PRU 2022," kata penulis buku 1MDB:The Scandal That Brought Down A Government itu lagi.

Dia berkata demikian dalam wawancara di BFM bersama penyampai Wong Shou Ning semalam.

Wawancara itu turut menampilkan peguam jenayah, Goh Cia Yee dan membincangkan keputusan untuk mengurangkan hukuman Najib dan kesannya kepada negara.

Guasegaram turut menyasarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kempen antirasuahnya, dengan menyifatkan Anwar telah mengorbankan aspirasinya atas tanggapan yang salah, iaitu Najib dapat membantu meningkatkan sokongan Melayu terhadap kerajaan.

"Rancangan keseluruhannya seolah-olah untuk mengembalikan Najib ke arena politik..tanggapan salah yang dia ada sokongan Melayu yang besar.

"Jika anda melihat ke belakang, ia menunjukkan dia tiada (sokongan itu)," katanya, merujuk kekalahan Umno ketika Najib menjadi presiden parti itu dalam PRU 2018.