Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersih tidak tolak bantahan terhadap hukuman Najib, butiran esok

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan protes terhadap pengurangan hukuman yang diberikan kepada  bekas perdana menteri Najib Razak yang disabitkan kesalahan dalam penyelewengan dana SRC International.

Pengerusi badan pemantau pilihan raya itu, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata kemungkinan tersebut telah dibincangkan pada mesyuarat semalam.

Muhammad Faisal Abdul Aziz

"Semasa mesyuarat semalam, kami menuju ke arah itu... tetapi kami perlu bina momentum terlebih dahulu," katanya kepada Malaysiakini.

Muhammad Faisal berkata, Bersih akan mengadakan sidang akhbar mengenai perkara itu esok bersama-sama dengan beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan kumpulan pelajar serta kumpulan belia lain.

Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa ia hukuman penjara Najib akan dikurangkan daripada 12 kepada enam tahun.

Dengan pengurangan separuh hukuman tersebut, bekas perdana menteri terbabit dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Jumlah denda yang dikenakan ke atasnya, pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Bagaimanapun, jika bekas presiden Umno itu gagal membayar denda tersebut dia perlu menjalani tempoh penjara tambahan selama setahun lagi.

Najib Razak

Najib kini meringkuk di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Hukuman 12 tahun dan sabitan itu dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Susulan keputusan itu, Bersih kemudiannya menyelar Lembaga Pengampunan, dengan mengatakan ini  akan memberi kesan besar kepada kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Bersih berkata keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2022 untuk mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib jelas menunjukkan dia telah "merompak wang negara".

Gabungan itu turut membangkitkan petisyen yang dilancarkannya pada 2022, di mana 157, 168 tandatangan dikumpul agar Najib tidak diberi pengampunan.

Selepas sabitan Najib, bekas pemimpin Bersih 2.0 mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang turun ke jalanan dalam perhimpunan badan pemerhati untuk membantah walaupun pelbagai ancaman dan cabaran dilontarkan oleh kerajaan ketika itu.

Najib telah disabitkan dengan tujuh pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya kerana salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Najib juga sedang dibicarakan untuk kes lain termasuk empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang RM2.27 bilion 1MDB.