Skip to main
Logo Malaysiakini

Raghad: Hentikan tuduhan jahat, saya cuma mahu jaga suami

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Raghad Kurdi, isteri bekas yang di-pertua Sarawak Taib Mahmud, menggesa orang ramai berhenti membuat andaian dan tuduhan terhadapnya.

Dalam surat terbuka yang dikongsi kepada media hari ini, Raghad berkata dia berdepan kempen atas talian yang memburukkannya, lapor Borneo Post.

Surat itu dikeluarkan selepas timbul dakwaan wanita Arab itu membawa keluar Taib dari sebuah hospital di Kuching tanpa persetujuan doktor–tuduhan yang dinafikannya.

“Dalam beberapa hari ini, beredar di media sosial imej dan berita yang memburukkan imej dan dan reputasi saya sebagai isteri bekas yang di-pertua negeri Sarawak.

“Keutamaan saya ketika ini adakah kesejahteraan suami saya Tun Taib.

“Dengan rendah diri saya mohon hentikanlah segala andaian dan tuduhan jahat terhadap saya kerana keutamaan saya ketika ini hanya untuk menjaga suami saya.

“Tolong jangan percaya sebarang khabar angin yang dikatakan terhadap saya,” katanya.

Taib dan Raghad pada 2014, gambar hiasan

Raghad malam tadi berkongsi nota tulisan tangan jururawat bagi membuktikan dia tidak mengingkari nasihat doktor dengan membawa Taib keluar hospital.

Nota itu antaranya menyebut “menunggu untuk dikeluarkan daripada hospital”.

Sebelum ini terdapat dua laporan polis dibuat oleh anggota keluarga Taib yang mendakwa perkara itu.

Laporan polis kedua mendakwa tiada adik beradik Taib mahupun empat anaknya dimaklumkan berkenaan lokasi dan keadaan kesihatan Taib.

Tahun lalu, seorang anak Taib, Sulaiman Abdul Rahman memfailkan injunksi di mahkamah bagi menghalang saham sebuah syarikat dipindah milik kepada Raghad.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

‘Tak akan tinggalkan Malaysia’

Sementara itu, Raghad berkata walaupun dilahirkan di negara asing, dia kini adalah rakyat Malaysia dan “akan terus menjadi rakyat Malaysia”.

“Saya tidak akan tinggalkan negara ini dan akan meneruskan kerja-kerja kebajikan saya untuk rakyat Sarawak selepas Tun Taib kembali sihat, Insya-Allah,” katanya.

Taib menjadi yang di-pertua Negeri Sarawak sepatutnya memegang jawatan itu sehingga akhir bulan ini.

Namun, tempoh perkhidmatannya dipendekkan selepas pelantikan bekas speaker Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar ke jawatan itu.