Skip to main
Logo Malaysiakini

'Siti Mastura lulusan PhD, patut semak sumber tak sahih'

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan pemimpin parti itu berhujah bahawa Ahli Parlimen PAS Siti Mastura Muhammad tidak sepatutnya bergantung kepada sumber yang disangkal berhubung dakwaan mereka mempunyai pertalian darah dengan komunis dan bekas perdana menteri Singapura.

Dalam jawapan terhadap pembelaan Siti Mastura terhadap saman fitnah mereka, Guan Eng, bapanya Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mempertikaikan mengenai sumber yang didakwa daripada risalah bahan kempen BN.

Ketiga-tiga plaintif menegaskan bahawa defendan tidak boleh bergantung kepada risalah itu sebagai pembelaan kerana ia telah pun disangkal oleh Pengerusi BN Mohamad Hasan dan bekas ahli majlis tertinggi Umno Hizatul Isham Abdul Jalil.

Guan Eng, Kit Siang dan Kok berkata Siti Mastura selaku seorang ahli parlimen yang berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD), sepatutnya melakukan usaha semakan sewajarnya.

"Adalah kewajipan akademik/pengkaji sepertinya yang terlatih dengan teknik dan protokol, sebagai peraturan, sepatutnya melakukan usaha wajar dan sedar bahawa hanya bahan yang antara lain, tulen, berwibawa dan boleh dipercayai untuk disandar dan bukannya bahan lain.

"Jika gagal, mana-mana rujukan kepada penerbitan BNComms yang tidak sahih, tidak berwibawa dan tidak boleh dipercayai, yang kewujudannya telah dinafikan oleh BN sendiri, boleh disifatkan sebagai antara lain, sangat tidak bertanggungjawab, melulu dan sangat cuai.

"Oleh itu, kajian yang didakwa oleh defendan mengenai perkara itu adalah tidak masuk akal dan tidak wajar bagi seorang ahli politik dan lebih-lebih lagi, seorang pemegang ijazah kedoktoron," kata ketiga-tiga plaintif.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam mewakili ketiga-tiga pemimpin DAP berkenaan, Sankara Nair mengesahkan jawapan itu difailkan di Mahkamah Tinggi George Town pada 2 Feb.

Sebelum ini, media melaporkan Siti Mastura mendakwa kenyataannya yang diucapkan pada majlis ceramah politik pada akhir tahun lepas, adalah berdasarkan "fakta" sah yang terkandung dalam risalah itu, yang menurutnya adalah sumber yang boleh dipercayai.

Pada 27 Nov tahun lepas, Guan Eng, Kit Siang dan Kok memfailkan saman terhadap Siti Mastura.

Ketiga-tiga saman itu berhubung ucapan defendan pada majlis kempen pilihan raya kecil Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, pada 4 Nov.

Siti Mastura mendakwa tiga pemimpin DAP itu mempunyai kaitan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya Ong Boon Hua, yang lebih dikenali sebagai Chin Peng dan perdana menteri pertama Singapura Lee Kuan Yew.

Plaintif menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan, serta injunksi untuk menghalang defendan daripada terus melafazkan dakwaan itu.

[Baca berita asal]