Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak masuk akal kata Taib diculik - KPN

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Dakwaan yang mengatakan bahawa bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud dilarikan dan diculik adalah tidak masuk akal, kata Ketua Polis Negara (KPN) Razarudin Husain.

Ini kerana, menurut Razarudin, Abdul Taib kini sedang dirawat di rumah dan dijaga ahli keluarganya.

Malah, keberadaannya diketahui ahli keluarga, adik-beradik, peguam termasuk doktor serta jururawat yang merawatnya di hospital.

"Jadi, untuk kata TYT (Tuan Yang Terutama) diculik, tidak masuk akal, ia memang tidak masuk akal.

"Kerana anak dia boleh lihat di rumah, adik beradik boleh lihat dia di rumah di Demak (Demak Jaya), ada doktor, ada jururawat, jadi, fakta sebelum ini (kena) perbetulkan," katanya.

Razarudin berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 21 dan Perasmian VSP 2.0 bersempena dengan Tahun Baharu Cina 2024 di Persada PLUS, Subang di Petaling Jaya, hari ini.

Katanya lagi, pihaknya menerima laporan mengenai hal tersebut tetapi dakwaan Abdul Taib 'diculik' dibuat oleh ahli keluarganya, bukannya pihak polis.

"Kita ada terima beberapa laporan yang dibuat oleh anak, saudara dan juga peguam, kononnya TYT telah pun dilarikan.

"Tetapi (laporan) bukan daripada CP (Pesuruhjaya Polis Sarawak), Pengarah JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) dan IGP (Ketua Polis Negara).

"Jadi, mungkin ada salah fakta antara berita yang didengar dan mungkin tidak tepat," tambahnya.

Menurut Razarudin, Abdul Taib dibawa pulang daripada hospital ke kediamannya oleh isterinya, Raghad Kurdi.

"Semua laporan itu kita siasat, tapi dia (Abdul Taib) dibawa daripada hospital ke kediamannya, di Demak.

"Jadi, adakah dia dilarikan? Saya rasa tidak," katanya.

Bagaimanapun, Razarudin mengesahkan kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis.

Pada 5 Feb lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa pihak polis menerima laporan Abdul Taib didakwa telah diculik dari hospital oleh seorang ahli keluarganya.

Menurut laporan polis yang dibuat, Taib dilaporkan ketika itu sedang dirawat di unit rawatan rapi Pusat Pakar Perubatan Normah di Kuching telah dibawa keluar oleh isterinya tanpa memaklumkan kepada kakitangan hospital.

Namun selepas itu, Raghad menafikan perkara tersebut dengan mendakwa bahawa dia membawa Abdul Taib pulang dengan mendapat kebenaran doktor.

Raghad juga meminta orang ramai berhenti membuat andaian dan tuduhan terhadapnya.